BN mampu menang majoriti

in Politik by


JERANTUT – BN yakin mampu meraih kemenangan majoriti pada PRU14 di negeri ini jika semua parti komponen termasuk Umno meraih kejayaan di semua kawasan sasaran mereka.


Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Adnan Yaakob berkata, kemenangan dua pertiga mampu diraih sekiranya semua komponen parti itu memberikan yang terbaik di kerusi masing-masing ditambah dengan pemilihan calon yang tepat.


Katanya, jika gagal meraih kemenangan di kerusi sasaran mereka itu, ia akan menjadi punca kegagalan untuk meraih kemenangan dua pertiga BN di negeri ini.


“Sokongan terhadap BN di Felda sekarang mantap tidak timbul masalah, dan mengikut sesetengah kajian yang dibuat isu 1MDB berada di nombor yang terakhir.


“Rakyat bercakap mengenai kos sara hidup tetapi kerajaan sudah melakukan banyak perkara termasuk pemberian BR1M, malah jualan barangan keperluan pada harga murah juga akan diteruskan selepas pilihan raya,” katanya. selepas majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka Felda Lepar Utara 3, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun; Adun Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak, dan Adun Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.


Adnan berkata, 1MDB bukan satu isu sebaliknya ikhtiar kerajaan mencari duit demi kepentingan rakyat.


“Tetapi apabila 1MDB berniaga di luar negara orang cakap rasuah, korup jadi peniaga lain pun takut, sedangkan tujuan 1MDB melabur di luar negara untuk dapat keuntungan dalam masa singkat untuk rakyat,” katanya.


Dalam pada itu, seramai 38,178 peneroka daripada 115 tanah rancangan Felda di negeri ini menerima surat hak milik yang mewakili 88.53 peratus daripada keseluruhan peneroka di Pahang.


Menurut Adnan, hanya tinggal baki seramai 4,948 daripada keseluruhan 43,126 peneroka yang masih belum menerima surat hak milik tanah daripada keseluruhan keluasan 203,011 hektar tanah rancangan Felda seluruh Pahang.


Katanya lagi, daerah Maran menjadi kawasan paling ramai peneroka telah menerima suratan hak milik tersebut iaitu melibatkan seramai 12,072 peneroka.


“Kelewatan pemberian hak milik disebabkan ada dalam kalangan peneroka yang lewat membayar hutang dan kerumitan pengukuran sempadan tanah antara peneroka,” katanya.


Tambahnya lagi, Pahang mempunyai sejumlah 43,126 peneroka bersamaan 38.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 112,638 peneroka seluruh negara.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]