Cari penyelesaian isu bauksit

in Politik by


ISU bauksit tidak terkecuali berlaku di Paya Besar apabila turut melibatkan peneroka di Felda Bukit Goh di Dun Sungai Lembing.


Pelbagai isu berlaku sehinggalah kerajaan menguatkuasakan tempoh moratorium yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2017, disambung sehingga Jun depan selepas dikuatkuasakan sejak 15 Januari 2016.


Adun Sungai Lembing,  Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, sebagai langkah penyelesaian total isu bauksit, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dilantik sebagai agensi peneraju dan pemegang amanah Lesen Melombong Tuanpunya (PML) Projek Perlombongan Bauksit di Bukit Goh dan Bukit Kuantan.


Menurutnya, PKNP kini dalam proses menyiapkan kajian menyeluruh Prosedur Operasi Standard (SOP) projek itu termasuk Kajian Impak Alam Sekitar.


“Kajian yang bermula sejak tiga bulan lalu dijangka siap dalam tempoh enam bulan sebelum dibentangkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan pada masa sama kepada orang awam untuk diperkemaskan,” katanya.


Menurutnya, selagi kajian itu tidak siap, kerajaan tidak akan luluskan permit import bauksit itu, bagaimanapun dalam jangkaan selepas dibentang dan mendapatkan kelulusan, operasi dapat dimulakan namun tiada tempoh masa tertentu dapat dinyatakan.


Katanya, projek itu melibatkan kawasan berkeluasan 1,200 hektar dengan kira-kira 300 peneroka terbabit, dan daripada jumlah itu 132 orang telah menandatangani perjanjian dengan PKNP.


Menurutnya, peneroka tidak diwajibkan menandatangani perjanjian dengan PKNP tetapi segala syarat pematuhan kelulusan termasuk kajian impak alam sekitar perlu dilaksanakan pihak kontraktor dilantik.


“Tanpa pematuhan ini, kontraktor tidak akan mendapat kelulusan, sekali gus jika beroperasi mereka jelas melanggar peraturan ditetapkan, berbeza dengan PKNP yang akan beroperasi mengikut SOP.


“Bagi memastikan pembelaan kepada pihak terjejas akibat aktiviti ini, pihak kami mencadangkan mewujudkan tabung pemuliharaan melalui peruntukan daripada pihak kontraktor  bagi tujuan tersebut.


“Ini mengambil kira pampasan kepada penduduk terjejas, selain membaiki kerosakan infrastruktur seperti jalan dan sebagainya akibat aktiviti ini kelak,” katanya.


#PRU14 #PRUSinar #ApaRakyatMahu

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]