Ekonomi rakyat membimbangkan

in Edisi Johor by


MUAR – Malaysia antara negara yang membayar kadar upah terendah kepada pekerja berbanding negara lain seperti mana laporan Bank Negara Malaysia baru-baru ini.


Penyelaras PKR Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, laporan Bank Negara memberi gambaran kedudukan ekonomi majoriti rakyat membimbangkan dan kritikal.


“Pembangunan negara yang tidak seimbang dengan pendapatan rakyat terbanyak hanya akan melahirkan kepincangan akibat tadbir urus kewangan negara yang gagal.


“Kepincangan tadbir urus pembangunan dan kewangan negara pula pasti akan menghalang kemasukan pelaburan dalam negara dan akhirnya golongan pekerja menjadi semakin tertindas,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengisytiharan calon Dun Tangkak Ee Chin Li oleh Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang di bandar Tangkak, baru-baru ini.


Menurutnya, kesongsangan strategi kerajaan menampung hutang negara dengan mengenakan cukai GST membuktikan bahawa dasar menindas seluruh golongan miskin terus dilaksana tanpa mengambil kira keseimbangan, kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap seluruh sistem dalam negara.


Pakatan Harapan berhasrat mewujudkan kaedah cukai jualan dan perkhidmatan lebih adil dan tidak menyusahkan rakyat termasuk peniaga serta menolak tanggungan ketirisan dan rasuah pemimpin yang ditanggung semua pihak ketika ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]