Enam sekeluarga hilang tempat tinggal

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Enam sekeluarga hilang tempat tinggal setelah kediaman mereka di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, di sini, musnah dalam kebakaran petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut mengakibatkan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang.


Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian tiada penghuni di dalam rumah berkenaan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran rumah separuh kekal itu pada jam 6.11 petang.


“Sejurus laporan itu diterima, seramai 22 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kita dapati rumah telah 100 peratus terbakar dan kerja-kerja memadam api segera dilakukan.


“Punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih lagi dalam siasatan kami,” katanya.


Dalam pada itu, Zuliana Ya, 34, bersyukur ketika kejadian tiada ahli keluarga yang berada di dalam rumah ibunya itu.


Katanya, dia tinggal di rumah berkenaan bersama tiga anak yang berusia sembilan, enam dan empat tahun bersama seorang anak saudara serta ibunya.


“Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa kami ini, namun saya tetap bersyukur semua ahli keluarga saya terselamat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]