Kerajaan nafi GST punca rakyat susah

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (Harapan) mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat bukti kerajaan BN tidak peduli ekonomi rakyat.


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kemungkinan Zahid tidak menyedari bahawa Indeks Harga Pengguna telah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada Februari 2107.


Katanya, indeks itu mencatatkan sebanyak 4.5 peratus, justeru bagaimana kerajaan boleh terus menafikan impak GST antara kesan kitaran ringgit domestik terjejas?


“Saya turut merasai kesusahan anggota polis, tentera termasuk juga warga Felda, saya yakin kerajaan menyedari hakikat kesusahan golongan ini sebab itu diumumkan pelbagai insentif bantuan ‘mengejut’ sedangkan sejak awal kita tahu cukai regresif menekan rakyat.


“Program sentuhan rakyat kendalian BN yang menjual lebih 30 barangan asas apad harga murah adalah bukti pengakuan kerajaan bahawa rakyat terbeban dengan kos sara hidup tinggi akibat GST,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.


Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR menyifatkan ini satu tindakan  tangan kanan menghulur bantuan, tangan kiri terus mencukai?


“Jika benar kasihan, mengapa rasionalisasi subsidi diteruskan tatkala cukai dikenakan. Ketika hutang negara mencecah RM 700 bilion, rakyat ditekan BN untuk meraih pulangan GST yang dikatakan penyembuh ekonomi negara.


“Sekiranya Zahid tidak memohon maaf segera dan keselamatan sosial dijamin, saya yakin rakyat tidak akan teragak-agak untuk memberi pengajaran kepada BN,” ujarnya.


Beliau turut menjangkakan menjelang pelancaran manifesto BN, 7 April ini, BN akan mengumumkan kadar pengurangan cukai atau penambahan senarai barangan dikadarkan sifar GST.


“Ini semua tindakan ikhtiar akhir setelah BN khuatir kerana tekad Harapan ialah menghapuskan GST.Ini bukti jelas, rakyat benar-benar terkesan dengan penetapan cukai regresif,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Orang tengah punca harga barang naik, bukan GST ]


Sebelum ini, Zahid menyatakan kenaikan harga barang bukan berpunca daripada  GST sebaliknya berpunca daripada tindakan orang tengah atau ‘kartel’ yang memanipulasi harga bagi memperoleh keuntungan berlebihan.


Menurutnya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang telah bersidang dan dipengerusinya sebanyak dua kali baru-baru ini mendapati tindakan golongan tersebut memanipulasi harga barang telah menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]