Maut akibat terbabas

in Uncategorized by


IPOH – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya terselamat selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar tiang lampu isyarat berhampiran Pulai Height di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, petang tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, Mohamad Noramzan Ahamad Norlizan, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pembonceng merupakan seorang wanita juga berusia 20 tahun cedera ringan dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.


“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menuju ke pusat bandar.


“Setibanya di lokasi kejadian, dipercayai motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat.


“Motosikal terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat rempuhan kuat itu.


“Punca kemalangan akibat terbabas dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]