MDKP anjur kejohanan karom

in Edisi Utara by


BUKIT KAYU HITAM – Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) menganjurkan Kejohanan Karom Terbuka 2018-Piala Setiausaha MDKP yang berlangsung di Kompleks Darul Qiyyam, dekat sini, baru-baru ini.


Unit Pelancongan MDKP, Rabiatul Adawiyah Mohd Fisol berkata, kejohanan yang mendapat kerjasama Persatuan Asun Carrom Team (Act) itu didakan bagi menghidupkan kembali sukan karom yang dilihat semakin tenggelam disebabkan ledakan sukan digital (E-Sukan) hari ini.


Menurutnya, sebanyak 128 penyertaan diterima bagi kategori perseorangan dan 158 penyertaan bagi kategori beregu dari seluruh negara.


“Kejohanan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.


“Penganjuran ini juga sebenarnya dapat mengeratkan silaturahim sesama pemain dan pegawai pasukan dengan masyarakat dalam dan luar Kubang Pasu. Selain itu ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Darul Qiyyam kepada orang luar,” katanya kepada Sukan Sinar.


Rabiatul Adawiyah berkata, antara peserta yang hadir adalah dari jabatan-jabatan kerajaan dan swasta iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Lumpur dan Proton Kuala Lumpur.


Jelasnya, turut menyertai adalah peserta dari Kelantan, Universiti Malaya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Daerah Baling, Majlis Perbandaran Sungai Petani dan Majlis Bandaraya Alor Setar.


Penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha MDKP, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]