Orang muda perlu bijak nilai setiap janji

in Politik by


PONTIAN – Golongan berpendidikan sewajarnya generasi muda pada hari ini lebih matang menilai kejayaan yang dibawa kerajaan dan janji-janji yang ditabur pembangkang setiap kali PRU.


Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md Othman Yusof berkata, sesiapa sahaja boleh membuat janji, tetapi sejauh mana janji yang diucapkan itu mampu ditunaikan apabila semua perkara mahu diberikan percuma.


“Fikir dulu apa jadi jika semua perkara hendak diberikan percuma tanpa mengira kesan jangka masa panjang kepada negara.


“Jangan terlalu bergantung kepada media sosial sahaja, dapatkan maklumat tepat dan sahih supaya tidak menyesal di belakang hari,” katanya pada majlis pelancaran Team Brother Motor dan Briged Gempur BN Parlimen Tanjung Piai di padang Mini Stadium Rambah, baru-baru ini.


Kira-kira 1,000 anak-anak muda hadir sebagai jentera gerak gempur bagi menghadapi PRU14 sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai dan Dun Kukup serta misi merampas Dun Pekan Nanas.


Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung  Piai, Datuk Jefridin Atan, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Norafandi Jamaian dan Ketua Wanita Umno, Zarina Mohamed Bain.


Tambah Md Yusof, semangat dan kesiapsiagaan termasuk golongan muda  bagi menghadapi PRU14 kini telah menghampiri  detik permulaan  dan terusnya bertahan sehingga hari pembuangan undi kelak.


“Diharap semua jentera pilihan raya berada pada ‘gear’ tinggi dan hanya menunggu sahaja pembubaran Parlimen dan Dun  yang akan dibuat perdana menteri,” katanya.


Md Yusof juga menyuarakan komitmen untuk membina sebuah track drag and race di Parlimen Tanjung Piai sebagai tempat bagi mereka yang  gemar melakukan aktiviti sedemikian pada masa depan.


Sementara itu, Norafandi menyambut baik saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya nama mat rempit diubah kepada brother motor bagi menggambarkan pandangan lebih baik, berdisiplin dan menunggang secara berhemah.


Katanya, titah Sultan Johor itu menunjukkan baginda inginkan imej mat rempit yang selalu dianggap negatif dan bermasalah kepada pengguna jalan raya yang lain dapat dikikis dari minda orang ramai.


Menurutnya, golongan muda perlu diberi bimbingan dan tunjuk ajar supaya mereka tidak melakukan perkara yang boleh melanggar peraturan jalan raya selain menjaga keselamatan diri.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]