Pemandu teksi di Kuching perlu bijak menilai

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan pemandu teksi di Kuching agar mereka menilai pihak mana yang sebenarnya membantu mereka selama ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas perjumpaan dan dialog seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Ir Dr Nor Irwan Ahmat Nor bersama kepimpinan pemandu teksi di Kuching pada 31 Mac lalu.


Nancy dalam kenyataan ahbarnya hari ini mendakwa Nor Irwan yang kini giat berkempen bagi pilihan raya umum (PRU) kawasan Parlimen Petra Jaya telah menyatakan bahawa kerajaan Pakatan akan membela nasib para pemandu teksi di Kuching.


Beliau berkata tindakan ahli PKR itu sebenarnya mahu pemandu teksi berundur dan ketinggalan daripada kepesatan teknologi masa kini.


Nancy berkata kaji selidik yang dibuat SPAD, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak mendapati bahawa lebih 50 peratus pengguna teksi di Malaysia menggunakan mobile apps untuk mendapatkan perkhidmatan teksi, manakala lebih 70 peratus daripada 45,000 responden kaji selidik mahukan perkhidmatan e-hailing dibenar dan dikawal selia operasinya.


“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tidak mahu pemandu teksi konvensional jauh ketinggalan daripada trend permintaan terhadap perkhidmatan teksi,” katanya.


Oleh sebab itu, kata Nancy  LPKP Sarawak sejak Oktober 2016 sehingga Mac tahun ini telah melaksanakan sebanyak 17 sesi perjumpaan bersama pihak berkepentingan termasuk persatuan teksi di negeri Sarawak dan pemandu teksi di Kuching.


“Sebagai platform untuk membincangkan isu dan perkara berkaitan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan teksi di negeri Sarawak, selain menyampaikan dasar-dasar pelesenan.


“Malah, saya sendiri beberapa kali menghadiri sesi pertemuan dengan komuniti teksi dan pihak berkepentingan untuk mendengar cabaran yang mereka hadapi terutama berkaitan perkhidmatan e-hailing,” katanya.


Daripada beberapa siri perjumpaan yang diadakan, katanya kebanyakan isu yang diutarakan adalah isu yang sama pernah dikemukakan yang kami telah bantu menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri dua tahun lalu.


Beliau menjelaskan bahawa TITP bukan sahaja dilaksanakan untuk mengatasi masalah pertembungan teksi konvensional dengan e-hailing semata-mata tetapi juga dirangka untuk mengatasi banyak masalah yang telah lama membelenggu pemandu teksi sebelum ini.


Bagaimanapun, Nancy berkata di sebalik semua sesi pertemuan dengan ahli-ahli Persatuan Teksi Bumiputera Bahagian Kuching, masih ramai dalam kalangan mereka yang tidak memahami dasar kerajaan yang bertujuan untuk membantu mereka bergerak maju sealiran dengan perkembangan teknologi semasa.


“Malah ada kalangan mereka yang dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk menagih simpati dan meraih sokongan walaupun pada dasarnya semasa pembentangan Rang Undang-Undang Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Akta 334) (Pindaan 2017) yang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara pada Ogos 2017, pihak pembangkang telah menyokong sepenuhnya,” jelas Nancy.


Beliau menambah bahawa adalah menyedihkan bahawa Persatuan Teksi Bumiputera Bahagian Kuching, khususnya pengerusi dan bendahari persatuan itu masih mempunyai agenda tertentu yang tidak memperjuangkan nasib ahli-ahlinya kerana banyak dasar dan polisi kerajaan terkini yang telah dimaklumkan beberapa kali melalui perjumpaan dengan mereka tidak sampai kepada ahli persatuan itu, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha dan inisiatif kerajaan selama ini.


Beliau menegaskan bahawa dalam membuat dasar, terutamanya dalam perkhidmatan e-hailing, kerajaan memberi layanan yang sama rata kepada semua pihak dan berpegang terhadap prinsip “same level playing field”.


“Ini bermakna apa jua syarat dan prosedur yang dikenakan dan perlu dilalui pemandu dan kenderaan teksi, ia juga perlu dipatuhi oleh pemandu dan kenderaan e-hailing dan ia termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan, memiliki kad pemandu dan memiliki perlindungan insurans yang melindungi pemandu, penumpang kenderaan dan pihak ketiga,” tambahnya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]