Penerbangan sulung Wings Air ke Melaka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Wings Air, akan memulakan penerbangan harian antara Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Medan mulai 20 April ini, sekali gus menjadikan Melaka destinasi ketiga di Malaysia selepas Kuching dan Miri untuk syarikat penerbangan Indonesia itu.


Penerbangan yang bakal menggunakan pesawat ATR-72 itu merupakan penerbangan berjadual kedua antara LTAM dan Indonesia, di mana ketika ini, Malindo Air turut beroperasi setiap hari dari LTAM ke Pekanbaru, Indonesia serta ke Pulau Pinang.


Ketika mengumumkan ini, Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Lim Ban Hong berkata, pengenalan penerbangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Melaka, tetapi juga faedah kepada Medan.

Ban Hong (tiga kiri) semasa mempromosikan penerbangan sulung Wings Air.


Menurutnya, selain menyumbang ketibaan lebih ramai pelancong Indonesia di negeri ini, ia juga menggalakkan pelancong Malaysia serta mereka yang menggunakan LTAM sebagai pintu masuk atau keluar mengunjungi Medan.


“Secara tidak langsung, penerbangan harian ini akan menggalakkan lagi sektor pelancongan dua hala antara Melaka dan Medan.


“Malahan saya menjangkakan kita boleh merekodkan sehingga 50,000 penumpang yang tiba dan berlepas di Melaka dalam tahun pertama ia beroperasi,” katanya kepada media di LTAM, Batu Berendam di sini, hari ini.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]