PPR pemangkin kemajuan Lenggong

in Edisi by


LENGGONG – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lenggong di Kampung Chain, di sini, dijangka mampu membawa perkembangan positif terhadap kemajuan pekan Lenggong dan kawasan sekitarnya.


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, projek tersebut juga sebenarnya antara usaha mentransformasikan Lenggong seperti dirancang pihaknya.


Menurutnya, dengan adanya projek itu ia mampu mengubah pekan Lenggong yang dilabel sebagai ‘pekan koboi’ malah mampu meningkatkan kuasa membeli rakyat juga.


“Penduduk mahu pekan Lenggong tidak lagi digelar pekan koboi, mereka mahukan pekan yang lebih besar. Apa yang ada di tempat lain, kalau boleh biarlah di Lenggong juga ada.


“Pekan Lenggong biasanya jam 6 petang dah tutup, tiada orang. Harap projek perumahan ini mampu jadi pemangkin kepada datangnya lebih banyak projek besar ke Lenggong.


“Ia juga sekaligus akan tingkatkan lagi sokongan rakyat kepada kerajaan BN,” katanya ketika berucap semasa menghadiri Program Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah PPR Lenggong, di sini, kelmarin.


Turut hadir menyempurnakan perasmian adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.


Tambah Shamsul Anuar lagi, selain perumahan, terdapat beberapa rancangan mahu dibawa ke pekan kecil itu termasuklah mewujudkan sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).


Ujarnya lagi, beliau juga bercadang membangunkan Kampung Warisan supaya ia boleh menjadi kawasan rekreasi menarik untuk rakyat Lenggong.


“Sejujurnya projek PPR Lenggong memang diidamkan rakyat di sini dan mereka juga mahukan kehidupan berkualiti, selesa termasuk mahukan kemudahan kesihatan dinaik taraf.


“Sekarang perkhidmatan kesihatan setakat jam 4 petang sahaja, ia perlu dilanjutkan. Saya percaya dengan adanya projek baru, ia memudahkan kita meminta untuk pembangunan lain pula.


“Bagi pihak rakyat, saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana meluluskan projek perumahan ini di Lenggong,” ujarnya.


Sebanyak 500 rumah bakal dibina di Kampung Chain di bawah PPR Lenggong melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM94 juta.


Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, kos bagi pembinaan sebuah rumah mencecah RM194,000 namun akan dijual dengan harga hanya RM35,000 kepada rakyat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]