PRU14: Harapan, rakyat lawan BN

in Politik by


KLUANG – Pakatan Harapan (Harapan) menyifatkan PRU14 sebagai  medan pertembungan antara parti pembangkang bersama rakyat menentang BN.  


Penolong Setiausaha Publisiti DAP Negeri, Sheikh Omar Ali berkata, perkara itu jelas ditunjukkan melalui kajian lapangan yang dibuat terhadap rakyat di peringkat akar umbi.


“Saya ingin menegaskan bahawa penglibatan rakyat akar umbi khususnya pengundi berdaftar pada PRU14 ini amat penting bukan sekadar mengubah pemerintah dan landskap sosiopolitik malah bersama-sama Harapan memastikan kelangsungan sistem demokrasi di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, Sheikh Omar yang juga calon Dun Paloh berkata, beliau akan memanfaatkan pengalamannya dalam pelbagai bidang sebelum ini untuk merencana perubahan kawasan berkenaan bersama masyarakat setempat.


“Sebagai permulaan ke arah perubahan, Pusat Pilihan Raya Harapan Paloh telah dilancarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang beroperasi di sebuah kedai terbakar dekat Jalan Abu Bakar, Paloh.


“Bangunan kedai yang usang dan ditinggalkan sejak 21 tahun lalu akibat insiden kebakaran itu telah disuntik dengan semangat perubahan dan harapan,” katanya.


Katanya, usaha dan kerjasama yang dilaksanakan dalam masa dua minggu itu menterjemah keperluan dan kemampuan Harapan untuk membina semula Malaysia daripada segala kerosakan yang telah dilakukan oleh BN selama enam dekad ini.


Katanya, Pusat Pilihan Raya Harapan Paloh dibuka kepada orang ramai pada setiap hari bermula dari jam 10 pagi sehingga jam 8 malam.


Jelasnya, pusat berkenaan akan menjadi ruang kepada masyarakat tempatan untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi merencana perubahan di Paloh.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]