Bangga pencapaian Muhammad Azeem

in Sukan by


REKOD pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan kini sedang dicabar apabila seorang atlet mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara mencatat 10.50 saat pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPK) 2018 di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.


Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat mencatat masa terpantas bagi Kategori Lelaki Bawah 15 Tahun.


Keputusan berkenaan sekaligus memadamkan rekod dua atlet pasukan Kuala Kangsar dan Larut, Matang, Selama (LMS) pada tahun 2012 dan 2013 dengan catatan masa 11.10 saat.


Salinan keputusan rasmi kejohanan tersebut tular dalam kumpulan WhatsApp sejak semalam dan menarik perhatian banyak pihak.


Exco Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kejayaan Muhammad Azeem sebagai satu potensi yang hebat ditunjukkan anak muda yang baru berusia 15 tahun yang berjaya mencatat masa 10.50 saat.


Malah menurut Shahrul Zaman kejayaan berkenaan sekali gus berkemungkinan dapat menobatkan atlet muda berkenaan sebagai ‘the next Khairul Hafiz Jantan’ berdasarkan catatan rekod itu.


“Kita bangga kejayaan Muhammad Azeem kerana di usia 15 tahun, dia boleh mencatatkan catatan masa yang begitu baik.


“Oleh itu, kita dah minta pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) agar dia dapat diberikan platform terbaik untuk kembangkan lagi potensinya.


“Saya juga telah panjangkan perkara ini kepada Pengetua Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ibrahim (SSTMI), iaitu sekolah sukan yang turut menempatkan Khairul Hafiz Jantan agar dia dapat menerima latihan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.


Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Perak 2018 berlangsung dari 2 hingga 5 April di Mini Stadium UPSI, Tanjung Malim.


Untuk rekod, Khairul Hafiz sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan 100 meter milik Watson Nyambek iaitu 10.30 saat selepas mencatatkan 10.18 saat di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 dua tahun lalu.


Beliau kemudiannya mencipta rekod bagi acara 100 meter pada Sukan Sea Kuala Lumpur tahun lalu dengan catatan masa 10.38 saat yang sekali gus menobatkannya selaku Raja Pecut Asia Tenggara


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]