BN Johor letak calon baharu, lama

in Politik by


JOHOR BAHRU – Kombinasi calon baharu dan lama akan dipertaruhkan BN untuk memberi tentangan pada PRU14. Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kombinasi itu juga turut meletakkan calon antara lelaki, wanita serta yang muda.


“Kita belum memuktamadkan berapa peratus calon baru dan muda kerana mungkin di saat akhir boleh berubah.


“Tetapi, BN seperti biasa ada kombinasi semua iaitu lelaki, perempuan, dewasa serta muda dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri temu bual dalam Program Bicara Yang Berhormat (YB) di konti Johor FM dekat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, di sini, hari ini.


Menteri Besar Johor itu memberitahu, senarai calon PRU 14 bagi BN negeri ini telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat, namun masih terdapat antara lima hingga 10 peratus senarai itu belum dimuktamadkan lagi.


“Kita perlu melihat lebih terperinci dengan mengambil kira pandangan orang ramai dan sudah tentu kita beri perhatian kepada calon-calon yang hendak diletakkan oleh pembangkang. Oleh sebab itu, kita belum memuktamadkan 100 peratus lagi calon,” katanya.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, manifesto kerajaan negeri hanya dilancarkan selepas manifesto peringkat pusat yang dijangka dibentangkan pada Sabtu ini.


“Kita akan bersama-sama mendapat manifesto peringkat kebangsaan dan mahu masyarakat memahaminya dahulu, selepas itu baharu kita lancarkan manifesto peringkat negeri dan ada kelainan sedikit kali ini.


“Kita juga telah kenal pasti beberapa tawaran dan atas sebab itu kita perlu sama-sama tunggu di peringkat pusat sama ada, ada atau tidak tawaran spesifik untuk Johor apabila mereka membentangkan manifesto di peringkat Pusat,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]