Dua lagi gelanggang Sukma 2018 siap

in Sukan by


BIARPUN dijadualkan bermula September depan, kehangatan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 semakin dirasai apabila dua lagi gelanggang melibatkan Stadium Indera Mulia bagi acara gimnastik dan gelanggang sukan skuasy berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, dua gelanggang yang berjaya disiapkan itu dilihat dapat memberikan kelebihan untuk atlet menyesuaikan diri dengan bidang sukan masing-masing.


Bagaimanapun katanya, kedua-dua gelanggang berkenaan hanya akan dibuka kepada umum dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi demi memberikan peluang kepada atlet kedua-dua sukan berkenaan menggunakan gelanggang berkenaan bagi tujuan latihan.


“Kita berjaya siapkan dua gelanggang ini dalam tempoh masa 18 bulan dan melibatkan RM14.5 juta bagi Stadium Indera Mulia manakala RM3.6 juta bagi gelanggang skuasy.


“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pihak kontraktor, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah menjayakan tugas dengan cemerlang.


“Lagi pun memang sasaran kita untuk siapkan gelanggang-gelanggang ini dalam tempoh empat hingga lima bulan sebelum Sukma bermula,” katanya.


Abdul Puhat berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Stadium Indera Mulia dan Arena Squasy, Kompleks Sukan Amanjaya di Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), semalam.


Sementara itu, Abdul Puhat berkata, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan kejohanan sukan yang bukan melibatkan gimnastik di gelanggang Stadium Indera Mulia sebelum bermulanya Sukma kelak.


Bagaimanapun, ia mungkin dilanjutkan lagi berikutan tempoh masa yang agak singkat untuk dianjurkan.


“Di luar Sukma, Stadium Indera Mulia ini boleh dijadikan gelanggang bola keranjang, bola tampar dan lain-lain. Gelanggang ini besar untuk beberapa acara sukan lagi.


“Dijangka kita juga akan buat perhimpunan penjawat awam dengan menteri besar di sini juga pada pertengahan bulan ini. Kalau tambah kerusi di depan ni boleh muat dalam 6,000. Tempat yang selesa untuk buat perjumpaan dan lain-lain,” katanya lagi.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]