Dun Belanja tak pernah terpinggir

in Politik by


WALAUPUN Dun Belanja terletak di kawasan luar bandar, namun dari segi pembangunan, ia tidak terpinggir seperti kawasan lain.


Adun Belanja, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu bersesuaian dengan keadaan persekitaran dan lokasi Dun tersebut.


Menurutnya, penduduk di kawasan itu bekerja sebagai penoreh getah, pesawah dan mengusahakan kelapa sawit, selain bekerja di sektor kerajaan serta swasta.


“Walaupun terletak di luar bandar, namun pembangunan tetap ada. Di kawasan ini boleh dikatakan kemudahan asas lengkap termasuklah jalan tar, sekolah, pusat kesihatan, dewan orang ramai, kemudahan elektrik dan sebagainya yang diperlukan oleh rakyat,” katanya.


Beliau berkata, jika dahulu Parit menjadi pusat pentadbiran Parlimen Parit, namun ia telah dialihkan ke Seri Iskandar, tetapi tidak bermakna pekan Parit dibiarkan begitu sahaja.


“Kita tetap hidupkan suasana di pekan Parit dengan pembinaan Jambatan Cempakasari yang menghubungkan antara Belanja Kiri dengan pekan Parit, selain kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).


“Walaupun tidak banyak kawasan yang ada, tetapi kita cuba lakukan yang terbaik termasuklah perancangan membina sebuah lagi sekolah berasrama penuh bersebelahan MSRM, secara tidak langsung boleh membantu perkembangan pekan Parit itu sendiri,” katanya.


Mohd Nizar berkata, walaupun kawasan tersebut tidak mempunyai pembangunan dari sudut perkilangan atau industri besar tertentu namun pihaknya menumpukan kepada perkembangan pelbagai bidang termasuklah pertanian.


“Bersesuaian dengan keadaan di kawasan tersebut, di mana kebanyakan penduduk adalah petani atau pesawah, jadi kita cuba bantu dari segi penyediaan kemudahan untuk pesawah.


“Dari segi pendidikan juga boleh dikatakan keputusan keseluruhan adalah sentiasa terbaik walaupun kita terletak di kawasan luar bandar,” katanya.


Menurutnya, walaupun pekan Parit boleh dikatakan sudah tidak mempunyai ruang untuk dibangunkan, namun pihaknya cuba mengoptimumkan kawasan yang ada.


“Sekarang kita dalam proses pembinaan Arena Square, kita juga ada pasar tani dua hari dalam seminggu dan perkara ini akan terus menghidupkan pekan Parit.


 “Bukan itu sahaja, jalan Siputeh-Parit juga kita turut perjuangkan supaya dinaik taraf dan kita harap ini akan membantu menghidupkan lagi kawasan ini,” katanya.


 


 


.  


 


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]