Harimau Selatan sedia tumbangkan Tok Gajah

in Sukan by


PENGENDALI Harimau Selatan, Raul Longhi mengakui pertembungan menentang Pahang pada aksi Suku Akhir Pertama Piala FA, di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok sedikit sukar memandangkan lawan akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.


Namun bagi Longhi semua ini bukan alasan kerana anak didiknya semua kini sudah bersedia dari segi semua aspek untuk memastikan keputusan positif dicapai.


“Saya akui pertembungan dengan skuad kendalian Dollah Salleh tampak sukar kerana mereka pasti mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri tapi kami tetap bersedia untuk menang pada aksi itu dan harus memperagakan corak permainan bijak.


“Falsafah dalam JDT mengutamakan mentaliti positif dan sentiasa beraksi konsisten kerana ia penting untuk memburu kemenangan.


“Suku akhir dijalankan secara timbal balik dan kami perlu memberi lebih 100 peratus pada aksi pertama dan mengekalkan momentum pada baki 90 minit di Larkin selepas ini.


“Para pemain memahami perancangan formasi yang dibentuk dan mereka mampu mengubah mengikut kesesuaian rentak permainan dan keutamaan adalah memperagakan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah,” jelasnya dipetik dalam kenyataan yang disiarkan laman rasmi pasukan, Johor Southern Tigers.


Pada masa sama Longhi menjelaskan, pemain kini berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan telah memberi sepenuh komitmen terhadap latihan fizikal dan taktikal sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia.


“Hanya S Kunanlan yang mungkin tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan di buku lali dan tahap kecergasan pemain itu dipantau oleh pegawai fisioterapi untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya.


“Sekiranya Kunanlan tidak dapat diturunkan, kami masih ada pemain gantian yang boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan senario itu tidak menggusarkan saya kerana pemain simpanan memiliki kualiti setanding,” jelasnya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]