Parah ditetak anak saudara tiri

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas cedera parah di kepala, dipercayai ditetak anak saudara tirinya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Paloh, di sini, semalam.


Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang, ketika mangsa yang berusia 72 tahun berada di rumah, sebelum ternampak suspek pergi ke belakang rumah dengan membawa sebilah sabit dan kayu.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa bertindak ke belakang rumah kerana ingin memerhatikan tindak tanduk suspek yang berusia 39 tahun itu, yang dikatakan mengalami masalah mental.


Namun, tidak lama kemudian, anak perempuan mangsa yang berada di dalam rumah dikejutkan dengan bunyi ketukan di belakang rumah, lalu bergegas keluar.


“Anak mangsa terkejut bila lihat bapanya berada dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah akibat cedera di kepala.


“Pada masa sama, dia sempat melihat suspek melarikan diri sambil membawa senjata tajam. Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Susulan kejadian, suspek ditahan penduduk kampung yang kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.


Bagaimanapun, suspek juga dibawa ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan kerana turut mengalami kecederaan.


Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]