PRU14: Pemuda Pas tidak akan cetus kekecohan

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas Terengganu memberi jaminan pihaknya tidak akan mencetuskan sebarang kekecohan pada PRU14.


Timbalan Ketuanya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, setiap ahli parti telah diterapkan dengan tanggungjawab dan nilai disiplin yang tinggi sejak dari awal untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan perkara sedemikian.


Sejak awal penubuhannya, beliau berkata, Pas membawa pendekatan politik matang dan sejahtera dan nilai itu sentiasa dipegang ahli-ahlinya sehingga kini.


“Pemuda Pas, sejak awal penubuhannya telah diterapkan nilai disiplin tinggi kepada ahli-ahli. Oleh itu saya yakin tidak akan berlaku kekecohan dari pihak Pemuda Pas sekiranya tiada provokasi dari mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Sinar Harian semalam melaporkan polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang berkemungkinan akan mencetuskan kekecohan  di saat-saat akhir pada PRU14 nanti di negeri ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Cawangan Khas bagi memantau individu terbabit agar tidak melakukan perkara tersebut.


Mengulas lanjut, Hishamuddin yang juga Adun Tepoh berkata, beliau memahami tugas polis yang bertanggungjawab mengawal keselamatan negara khususnya ketika waktu penting seperti PRU14 dan pihaknya menghargai peranan itu.


Sehubungan itu, beliau menyokong sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana individu terlibat dalam serangan dan kekecohan sepanjang pilihan raya berlangsung nanti.


“Kita mahukan proses demokrasi berjalan dengan aman dan damai, bukan secara pertelingkahan. Oleh itu, saya harap mana-mana pihak tidak mencetuskan sebarang provokasi kerana ia boleh menimbulkan ketegangan hingga berlakunya kekecohan.


“Saya juga menyeru semua parti politik yang mengambil bahagian  dalam PRU14 nanti dapat mewujudkan suasana kempen yang berkualiti tinggi. Pihak berkuasa juga jangan mengambil sikap terpilih dalam melaksanakan tanggungjawab. Mesti adil dan saksama” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]