Risau masa depan Irfan Syami

in Edisi Johor by


PONTIAN – Kekurangan fizikal ibu empat anak tidak menghalang dia mencurahkan kasih sayang kepada anak angkat yang dijaga sejak tiga tahun lalu.


Fozita Yacob, 42, yang mempunyai masalah kaki sejak dilahirkan dan mempunyai kad OKU menganggap anak angkatnya, Mohd Irfan Syami, 3, seperti darah daging sendiri.


Malah Syami dianggap cukup istimewa dan menjadi teman buat Fozita dan disayangi adik-beradik serta keluarga.


Bagaimanapun, dia dan suami, Mohd Safawee Bachok, 45, runsing memikirkan masa depan Irfan kerana dokumen surat anak angkat yang dimohon masih belum lengkap.


Menurut Fozita, ibu kandung Irfan diperlukan bagi melengkapkan dokumen surat anak angkat itu yang amat penting bagi urusan permohonan kemasukan ke tadika dan sekolah kelak.


Katanya, Irfan diberikan kepada dia dan suami sejak berusia enam hari lagi oleh adik iparnya yang tinggal di Jerantut, Pahang.


“Adik ipar beritahu kami seorang wanita yang melahirkan anak dan mahu menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat.


“Saya dan suami terus buat keputusan untuk ambil bayi itu kerana simpati dengan nasib wanita itu. Kami juga membayar bil hospital yang mencecah RM2,000,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas.


Jelasnya, dia dan suami tidak mengenali ibu Irfan dan hanya mengetahui tentang wanita itu dari adik iparnya.


“Adik ipar bawa bayi itu ke Pontian untuk diserahkan kepada kami. Sebetulnya memang kami tidak kenal ibu Irfan.


“Cuma diberitahu, ibunya bukan orang sini, tetapi berasal dari Indonesia, tetapi ayah Ifran orang tempatan. Yang ada pada kami sekarang sijil kelahiran Irfan,” katanya ketika ditemui, semalam.


Fozita berkata, dia ada bertanya mengenai ibu Irfan dengan adik iparnya, tetapi hasrat mereka untuk bertemu wanita itu tidak kesampaian kerana dia sudah tidak tinggal lagi di Jerantut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]