Saya takkan lari: Sin Woon

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon menegaskan beliau tidak akan mengelak sekiranya dijemput pembangkang untuk terlibat dalam sebarang sesi perbahasan.


Beliau bagaimanapun berkata, mesti ada topik khusus sebagai tumpuan dan bukannya melalut tanpa hala tuju hingga langsung tidak membawa manfaat kepada orang ramai.


“Kalau ada perbahasan, saya takkan lari. Tapi bila tujuannya sekadar untuk politik (semata-mata), lebih elok jangan bazirkan masa kita dan orang ramai.


“Sebaliknya masa yang ada cukup penting untuk beritahu rakyat, apa kita dah dan ingin laksanakan. Kita beri kad laporan dan manifesto pada rakyat untuk dibuat perbandingan,” katanya dalam sesi FB Live Sinar Harian di pejabatnya, di sini, hari ini.


Menurutnya, itu antara alasan mengapa beliau menolak jemputan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong untuk berbahas pada Ogos tahun lepas.


“Isu saya bawa waktu itu membabitkan prestasi Adun DAP di kawasan Seremban yang buruk. Dia (Kok Seong) pula menyibuk dari Rasah nak cabar saya berdebat.


“Jadi saya kata, dia boleh datang. Tapi jangan larikan diri. Kemudian penduduk sekitar Lobak dan Temiang mesti hadir.


“Tapi dia nak heret pada isu lain, itu amat bermotifkan politik. Sebab itu saya kata, jangan buang masa. Saya tahu, mereka nak cari platform untuk dapatkan hebahan atau publisiti,” katanya.  


Mengulas lanjut, kata Sin Woon, proses perbahasan merupakan satu budaya normal yang diamalkan di luar negara secara profesional.       


“Kalau ikut cara Barat, sebenarnya (memang) ada perbahasan atau perbincangan mengenai polisi yang bakal dibuat untuk kawasan masing-masing. Saya sokong kalau ada perbahasan macam itu.


“Tapi kalau kita lihat perbahasan sebelum ini di Pulau Pinang antara (bekas Presiden MCA) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, tak ada kualiti langsung.


“Bila sesuatu persoalan diberikan, dia (Guan Eng) langsung tak jawab. (Sebaliknya) cuma kata apa yang dia nak. Kalau itu keadaannya, bukan (lagi) perbahasan tapi cuma jadikan pentas yang ada sebagai tempat bercerita,” katanya.


Sebaliknya kata beliau, langkah diambil oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong sepatutnya menjadi contoh ikutan.     


“Kenapa tak berlaku macam Ka Siong? Bila dia cabar Guan Eng, ada (disediakan) satu topik yang spesifik iaitu (projek pembinaan) terowong dasar laut.


“Tapi dia (Guan Eng) pula tak berani dan beri alasan kebudak-budakan. Kata (Ka Siong) nombor dua dalam parti dan tak setanding dengannya.


“Kemudian bila Ka Siong dah sampai di kawasan dia, kata (hanya) akan berdebat kalau Ka Siong bertanding di Parlimen Bagan,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]