‘Saya tunggu bila mereka nak dakwa’

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan kesediaan untuk didakwa berhubung tindakannya yang menyanyikan lagu parodi ABC dengan lirik anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Beliau berkata, timbul persoalan apabila menyanyikan lagu pun boleh dianggap sebagai satu kesalahan dan akan disiasat.


“Saya hanya tunggu bila mereka nak dakwa. Nampaknya mereka amat serius kerana saya nyanyi lagu anti GST.


“Itu pun boleh kena (siasat), macam GST itu suatu yang haram di Malaysia,” katanya kepada media, semalam.


Menurutnya, perkara itu bagaimanapun tidak menghalang dirinya untuk terus berkempen dan menyanyikan lagu anti GST sekiranya perlu.


“Jelas sekali GST adalah satu isu penting dalam PRU14. Sebab itu BN begitu sensitif dengan isu ini,” katanya.


Sebelum ini, pihak polis mengesahkan kertas siasatan kes nyanyian lagu anti GST oleh Guan Eng di hadapan kanak-kanak di Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Idaman 2, Jelutong telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang.


Kes yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu diserahkan pada 2 April untuk tindakan lanjut bagi menentukan keputusan atau tindakan seterusnya jika perlu.


 


 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]