Sedia debat dengan MB

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bersedia menyahut cabaran debat jika perkara itu benar-benar dimahukan oleh  Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau yang juga Pengerusi PKR negeri memberitahu, pihaknya tiada masalah jika mahu mengadakan debat membincangkan isu-isu semasa, namun ia perlu dilaksanakan secara terbuka bagi memberi peluang kepada rakyat untuk menyaksikannya.


“Kita sedia menyahut cabaran untuk berdebat dengan Menteri Besar, itu pun kalau beliau ada masa nak layan semua tu (berdebat), kami tiada masalah.


“Jika beliau benar-benar mahu berdebat, kami di Pakatan Harapan Negeri Sembilan bila-bila masa sahaja bersedia, jangan hanya cakap sahaja tetapi bila tibanya nanti beliau pula tidak datang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan pendirian sedia berdebat dengan pembangkang.


Tambahnya, Pakatan Harapan berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat, terutamanya memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).


Katanya, dulu pun tak ada GST tetapi ekonomi negara berada pada tahap yang baik dan memberangsangkan.


“Jadi tidak timbul isu ekonomi negara jatuh atau negara akan bankrap jika kita mansuhkan GST, lagipun cukai GST ini baru sahaja diperkenalkan beberapa tahun lalu.


“Jika negara berbelanja dengan berhemah serta tidak melakukan pembaziran, sudah pasti sumber kewangan sedia ada cukup dan dapat menampung perbelanjaan negara dengan baik,” katanya.


Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan menawarkan diri untuk berdebat dengan pembangkang bagi menerangkan pelbagai isu berkaitan dasar kerajaan.


Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata, beliau sedia berdebat dengan pemimpin parti pembangkang jika dipanggil berbuat demikian.


Katanya, pihak pembangkang berulang kali berjanji untuk memansuhkan GST serta mengembalikan subsidi petrol berjumlah RM27 bilion jika mereka menang pada PRU14 nanti.


Tambahnya, jika rancangan pembangkang terlaksana, negara hanya boleh bertahan selama dua tahun sahaja sebelum bankrap.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]