'Serik dah ikut laluan becak, licin'

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Pasangan warga emas terpaksa melalui jalan becak, licin dan berlopak selama 10 tahun di Kampung Nuri Johol, di sini.


Rohani Yusuf, 67, dan pasangannya, Bahaman Ismail, 81, mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina sejak 1998, namun jalan untuk ke rumahnya belum diturap berikutan masalah kewangan.


Menurut Rohani, mereka hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baitulmal daerah atas nama suaminya bagi meneruskan kelangsungan hidup.


“Hendak makan, minum, semuanya dibantu oleh JKM dan Baitulmal, dan ada kalanya tidak mencukupi kerana perlu membeli ubat-ubatan untuk suami setelah diserang strok lebih 10 tahun lalu.


“Jadi, hendak menurap dan menaik taraf jalan acik tak mampu. Acik bukan orang senang, rumah pun bantuan kerajaan,” katanya.


Sering terjatuh ketika melalui jalan itu, dia telah membuat permohonan beberapa kali kepada pihak berkaitan bagaimanapun tiada sebarang tindakan demi keselesaan keluarganya.


“Setiap hari, acik perlu berjalan kaki sejauh 300 meter untuk beli keperluan harian kerana acik tidak pandai menunggang motosikal malah tiada kenderaan.


“Hanya tumpang anak saudara jika hendak ke kedai dan acik perlu keluar dan tunggunya di jalan utama.


“Jalan berlopak dan berlubang sehingga menakung air menyebabkan kenderaan tidak boleh lalu.


“Paling menyedihkan anak-anak dan cucu terpaksa berjalan kaki mengharungi jalan rosak setiap kali mereka pulang ke kampung berikutan kenderaan terpaksa diparkir di tepi jalan sahaja,” katanya ditemui, semalam.


Jelas Rohani, lebih membimbangkan apabila berlaku kecemasan terutama di waktu malam.


“Kesihatan pakcik semakin pulih, namun acik bimbang juga, kalau tiba-tiba pakcik sakit tengah malam.


“Ditambah pula, pergerakannya terbatas dan sukar untuk berjalan kaki keluar dari rumah untuk menerima rawatan.


“Memang jika ada perkara luar jangkaan, acik terpaksa berjalan kaki keluar untuk mendapat bantuan kerana orang sukar menemukan jalan ini berikutan kedudukan rumah terlindung dengan semak serta berada di selekoh.


“Kawasan ini amat berbahaya kerana di sini terdapat binatang liar seperti babi, biawak dan ular. Sekiranya jalan dinaik taraf, setidaknya, boleh juga kenderaan memasuki rumah acik,” katanya.


Rohani juga hanya mengambil upah menoreh getah untuk meneruskan kelangsungan hidup, sudah pasti tidak mempunyai sumber kewangan kukuh untuk membina jalan ini.


Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, pihaknya berusaha mendapatkan peruntukan menaik taraf jalan rumah Bahaman dan diharap pemohon bersabar.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]