Skandal Facebook: Data peribadi 87 juta pengguna bocor

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Laman media sosial Facebook Inc, mendedahkan data peribadi 87 juta pengguna, kebanyakannya di Amerika Syarikat telah dikongsi secara tidak wajar oleh syarikat perunding politik, Cambridge Analytica, jumlah tersebut melebihi anggaran sebelumnya, 50 juta.


Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg berkata, audit dalaman yang dijalankan mendapati 305,000 pengguna melanggan aplikasi kuiz ‘This Is Your Digital Life’ yang menyebabkan kebocoran data berlaku dan sebahagian besar dari jumlah tersebut terdiri daripada pengguna di Amerika Syarikat (AS),


Menurut Zuckerberg, hampir 16 juta pengguna yang terkesan berasal dari negara selain AS.


Facebook turut mendapati pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan ciri yang membolehkan pengguna mencari satu sama lain dengan menaip alamat e-mel atau nombor telefon ke dalam kotak carian Facebook.


Bagaimanapun, pihaknya kini telah menyekat ciri tersebut.


Bercakap dalam satu sidang media, Zuckerberg mengaku bertanggungjawab atas ‘kecuaian’ pihaknya melindungi data peribadi pengguna.


“Kami bukan sahaja menyediakan platform untuk pengguna, kami juga harus bertanggungjawab untuk bagaimana pengguna menggunakannya.


Zuckerberg memberitahu wartawan, tidak wujud sebarang perbincangan mengenai pengunduran beliau dari Facebook dan tiada pemecatan akan dibuat berhubung skandal itu.


Terdahulu, Facebook berhadapan tekanan hebat apabila didakwa ‘berdiam diri’ walaupun mengetahui Cambridge Analytica mengumpulkan data berjuta-juta pengguna sejak sekian lama serta hanya bergantung kepada syarikat perunding politik berkenaan untuk mengesahkan sendiri bahawa ia telah memadamkan maklumat.


Cambridge Analytica pula berkata ia telah membeli maklumat tersebut daripada pencipta aplikasi kuiz ‘This Is Your Digital Life’  tanpa mengetahui ia diperoleh secara salah.


Zuckerberg dijangka akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Dewan Kuasa dan Perdagangan Amerika Syarikat berhubung kebocoran data peribadi pengguna itu pada 11 April ini. – BBC


Source: SH Global

[featured-video-plus]