Tindakan tegas aktiviti perjudian keputusan PRU14

in Politik by


KUALA LUMPUR – Semua rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti perjudian yang melibatkan keputusan PRU14.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah terlibat dalam kegiatan tidak sihat itu.


“Mungkin ramai yang mengetahui bahawa terdapat aktiviti sindiket perjudian yang mengambil kesempatan atas keputusan pilihan raya.


“Kita nasihatkan supaya rakyat hindarkan diri daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat ini dan melaksanakan tanggungjawab mengundi lima tahun sekali dengan adil dan saksama,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) di Dewan Rakyat, hari ini.


Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjalankan operasi Ops Dadu Khas sejak lima bulan lalu bagi membanteras aktiviti perjudian bukan sahaja perjudian atas talian tapi juga perjudian awam.


“Kegiatan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya ini dari semasa ke semasa bertambah canggih, dulu memang aktiviti perjudian ini mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan pilihan raya.


“Jadi polis akan sentiasa memantau dan ambil langkah-langkah pencegahan untuk mengekang aktiviti perjudian haram yang melibatkan keputusan pilihan raya,” katanya.


Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan 48 pasukan khas yang khusus menangani isu gangsterisme dan perjudian haram di seluruh negara.


“Kita akan gunakan undang-undang seperti Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk mengawal selia aktiviti perjudian terbuka. Di samping itu Akta Pencegahan Jenayah 1959 juga akan digunakan sebagai alternatif kepada pihak yang menjadi penganjur kepada aktiviti negatif dan haram yang mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang,” katanya.


“PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan dan menyekat laman sesawang web yang digunakan untuk aktiviti pertaruhan yang mempengaruhi keputusan PRU14,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]