Bantu calon tersenarai untuk menang

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Calon lama di negeri ini yang tidak bertanding lagi pada PRU14 diharap tidak akan mengkhianati parti.


Setiausaha BN negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata, sebaliknya mereka perlu membantu calon-calon yang tersenarai demi memastikan kemenangan dapat dikekalkan.


“Senarai calon belum diputuskan, namun saya ingin nasihatkan semua yang tidak akan bertanding agar jangan jadi orang yang mengkhianati parti.


“Sebaliknya, mereka harus sama-sama membantu berkempen untuk mana-mana calon BN yang tersenarai kerana mereka harus ingat, dulu mereka menang juga hasil gerak kerja parti,” katanya.


Md Jais berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Khas Exco Johor di Pejabat Menteri Besar di  Kota Iskandar, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata, gerak kerja pada kali ini berbeza berikutan semua parti komponen bekerja di bawah BN.


“Gerak kerja pada kali ini berbeza dan tidak seperti dahulu. Kalau dahulu, Umno buat kerja sendiri, komponen MCA dan MIC buat kerja sendiri. Tetapi, kali ini kita bekerja secara BN dan bersama,” katanya.


Ujarnya lagi, semua jentera parti juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU 14, walaupun barisan pembangkang membawa ramai calon dari luar.


“Tetapi, kami akan memastikan bahawa wakil rakyat BN yang dipilih akan benar-benar dapat memberi perkhidmatan kepada orang tempatan. “Di peringkat jentera juga telah bersedia pada bila-bila masa dan gerak kerja kita juga akan memastikan semua pengundi yang menyokong kita akan keluar mengundi,” katanya. 


 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]