BN terdesak nak alih perhatian rakyat: Mahfuz

in Politik by


ALOR SETAR – Tindakan pemimpin Umno/BN menuduh pembangkang menghasut rakyat adalah tindakan terdesak untuk mengalih perhatian rakyat.


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pembangkang tidak perlu berkempen atau menghasut kerana kesannya sudah dirasai di mana-mana pelosok negara.


Katanya, tuduhan pemimpin Umno/BN membuktikan bahawa mereka sendiri yang menghasut rakyat agar membenci pemerintahan mereka mentadbir negara.


“Rakyat tidak marah seandainya GST itu memberi faedah dan kebaikan, jika harga barang naik disebabkan oleh orang tengah dan bukan GST, maka di sini dapat dilihat bahawa kerajaan gagal menguruskan orang tengah terbabit sehingga sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.


“Jika rakyat menyukai GST, apa pun yang pembangkang berikan, rakyat tidak akan terima dan sebaliknya rakyat akan sokong dan menerima GST dengan senang hati serta mahu kekalkan kerajaan Umno/BN,” katanya, dalam kenyataan media.


Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa pembangkang sengaja cetuskan kemarahan orang miskin terhadap GST sebab mahu menghasut mereka menolak benda baik.


Katanya, GST sengaja dibesar-besarkan untuk menanamkan politik kebencian, lebih lagi menjelang PRU14.


Mahfuz menegaskan bahawa rakyat gembira dan menerima dengan baik, manifesto yang dibentangkan oleh Harapan untuk menghapuskan GST.


“Sambutan terhadap ceramah, penerangan dan apa jua aktiviti dianjurkan Harapan  amat memberangsangkan.


“Rakyat yakin, jika Harapan ambil alih pentadbiran negara seterusnya penghapusan GST menjadi kenyataan bagi membolehkan ia melaksanakan segala tawaran serentak dan melucutkan leher rakyat dari ikatan tali sengsara ciptaan kerajaan Umno/BN,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]