Gesa tambak tanah, bina jalan longkang

in Edisi by


TAIPING – Majoriti pemilik tanah di Rancangan Kampung Tersusun (RKT) Aulong Lama Tambahan, di sini merayu kepada pihak yang berkenaan agar dapat menyegerakan proses kerja-kerja perkhidmatan kemajuan di tanah terbabit.


Seorang pemilik yang ditemui, Rosni Shariff, 59, berkata, dia amat sedih kerana masalah ini sudah berlarutan lama, namun seolah-olah tiada jalan penyelesaian.


Menurutnya, semua pemilik tanah di RKT Aulong Lama Tambahan masih menunggu tapak berkenaan ditambak bagi membolehkan rumah dibina.


“Memang menjadi impian makcik nak duduk di rumah sendiri di tapak tanah ini sejak arwah suami masih ada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.


Seorang lagi pemilik, Ab Aziz Mohd Desa, 66, berkata, majoriti pemilik tanah telah mendapat hak milik masing-masing pada 20 Mei 2009.


“Semasa sesi penyerahan geran berkenaan, pemilik dimaklumkan bahawa tapak berkenaan akan ditambak, dibina jalan dan longkang.


“Walaupun sudah memiliki geran, namun tidak ada apa yang boleh dibuat kerana kemudahan utamanya masih belum dilaksanakan,” katanya.


Jelas Ab Aziz, semua pemilik tanah berharap dapat membina rumah sendiri di tapak tanah ini, namun impian mereka seolah-olah tiada berkesudahan walaupun telah banyak mengeluarkan modal.


“Penduduk sebelum ini telah beberapa kali berhubung dengan pihak yang berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian namun tidak mendapat maklumbalas positif sehingga terpaksa menunggu begini lama,” katanya.


Mohd Yusof Mat Aris, 62, berkata, baru-baru ini pembinaan rumah PPRT yang dipohonnya telah berjaya disiapkan di tapak tanah berkenaan.


“Bagaimanapun, dia masih tidak dapat mendiami rumah berkenaan berikutan masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik,” katanya.

Pemilik tanah sudah menunggu lama untuk miliki kediaman sendiri di tapak tanah ini.


Yusof berkata, oleh itu, dia bersama semua pemilik tanah di sini berharap pihak yang berkenaan dapat menyegerakan proses menambak tanah, pembinaan jalan dan longkang di kawasan ini.


Menurut Yusof, lebih menyedihkan apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab bertindak membuang sampah di tapak ini.


Pemilik tanah, Abu Hassan Abd Jamal, 60, berkata, semua pemilik tanah di sini menunggu dengan penuh harapan.


“Pakcik sendiri sudah pencen sejak tiga tahun lalu, tapi masih tidak dapat bina rumah di tanah ini.


Abu Hassan berkata, hari ini (semalam) lebih 10 pemilik yang berjaya dikenalpasti berkumpul memohon pihak yang berkenaan supaya mengambil perhatian terhadap masalah ini.


“Pemilik telah menjelaskan bayaran kos perkhidmatan kemajuan seperti diminta iaitu antara RM7,000 hingga RM8,000 setiap seorang bergantung kepada keluasan tanah masing-masing.


“Malah cukai kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) juga dibayar setiap tahun, tetapi pemilik tidak mendapat apa-apa manfaat,” katanya.


Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang dan Selama bagi mendapatkan maklumbalas namun gagal.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]