Kayuhan GPA Kuala Besut capai sasaran

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Seramai 1,100 peserta mengambil bahagian dalam program berbasikal santai Kayuhan Gerbang Pelancongan Antarabangsa (GPA) Kuala Besut 2018 yang julung kali dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Besut.


Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, sambutan diterima di luar jangkaan dengan sasaran awal sekitar 1,000 peserta sahaja.


Menurutnya, sambutan tersebut membuktikan sukan berbasikal kini mendapat perhatian semua golongan tanpa mengira latar belakang  dan program tersebut turut disertai peserta berusia 13 hingga 62 tahun.


“Malah ada satu keluarga enam beranak dari Kuala Lipis, Pahang turut datang semata-mata untuk menyertai acara kayuhan sejauh 35 kilometer ini,” katanya yang turut menyertai kayuhan tersebut.


Tengku Zaihan berkata, peserta membuat kayuhan bermula di Dataran Muara Kuala Besut sehingga ke Kampung Lay Out Tok Has sebelum berpatah balik.


Menurutnya, program ini turut dijayakan bersama dengan Kelab Kayuhan Kuala Besut (KBCC) dan Gagasan Generasi Profesional.


“Melalui kayuhan santai ini, ia dapat memperkenalkan Kuala Besut yang bakal menjadi gerbang pelancongan antarabangsa apabila projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut yang sedang dilaksanakan sekarang siap.


“Ia juga bertujuan memupuk kerjasama dalam masyarakat di samping merapatkan hubungan di kalangan keluarga, kenalan dan rakan baharu selain menerapkan budaya hidup sihat termasuk kempen belia benci dadah,” katanya.


Tengku Zaihan berkata, kayuhan ini juga dapat memperkenalkan kampung-kampung di Dun Kuala Besut kepada peserta dari daerah dan negeri lain.


Paling menarik katanya, peserta turut membawa pulang hadiah dan cabutan bertuah bernilai RM30,000.


“Hadiah yang disediakan itu antaranya sebuah motosikal, lebih 16 buah basikal, percutian di Pulau Perhentian dan hotel terkenal di Terengganu, pelbagai jenis peralatan elektrik dan hamper,” katanya.


Beliau berkata, dalam acara sama turut disampaikan cenderahati kepada peserta paling awal datang (KBCC), peserta paling jauh (Kuala Lipis), kumpulan paling ramai (KBCC dengan 170 peserta), peserta veteran (62 tahun) dan penyertaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) paling ramai iaitu Kampung Baharu, Kuala Besut.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]