Lebih baik pangggil SU Bersatu dan beri nasihat

in Politik by


SHAH ALAM – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan tindakan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membubarkan Bersatu buat sementara, seperti ada sesuatu yang tidak kena.


Menulis di Twitternya, Rais berkata tindakan itu juga diibaratkan seperti ‘menyembelih’ demokrasi di negara ini.


“Apa perlunya RoS buat sidang akhbar tentang penggantungan sementara Bersatu di ambang PRU14.


“Bukankah lebih baik panggil sahaja Setiausaha Agung Bersatu (Datuk Shahruddin Md Salleh) dan beri nasihat?. Seksyen 14(5) tak perlu dijadikan pisau penyembelih demokrasi, terasa sangat sesuatu yang tak kena,” kongsinya.


Sinar Harian melaporkan RoS menerusi sidang media petang semalam di Putrajaya, memutuskan agar Bersatu dibubarkan buat sementara waktu.


Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata, tempoh pembubaran tersebut adalah selama 30 hari, namun sekiranya Bersatu gagal memenuhi beberapa tuntutan yang dikehendaki dan perintah itu akan menjadi mutlak serta parti berkenaan juga akan dibatalkan pendaftarannya.


Dalam pada itu, Bersatu menerusi sidang medianya malam tadi memaklumkan bahawa terdapat kekeliruan dan percanggahan berhubung tindakan RoS, yang mengumumkan pembubaran sementara dan memberi tempoh 30 hari untuk tempoh rayuan terhadap parti itu.


Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setelah meneliti kandungan dan surat daripada RoS, pihaknya menyimpulkan bahawa Bersatu masih sah dan boleh berfungsi seperti sediakala sehingga mana ia belum disahkan batal.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]