Lelaki mengaku tidak bersalah

in Edisi by


IPOH – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas tuduhan menggunakan dokumen palsu untuk memperdayakan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk bagi urusan pindah milik tanah, tahun lalu.


Tertuduh, Tan Eng Tang, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.


Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Perintah Mahkamah Tinggi Ipoh, saman pemula bertarikh 15 Mac 2017.


Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.


Dia melakukan kesalahan itu di Kaunter Unit Pendaftaran, Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk kira-kira jam 9.50 pagi pada 28 Mac 2017.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut  Seksyen 467 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asisten Superintendan Zuraidah Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan bantuan Guaman Kebangsaan, Robert Gnanarajan.


Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]