Merangkak mencari rezeki

in Edisi by


BERA – ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Itu peribahasa yang menggambarkan seorang nelayan darat, Mohd Norazimie Mat Saat, 40, tidak luntur semangat meneruskan kehidupan walaupun kehilangan kedua-dua kakinya sejak beberapa bulan lalu.


Norazimie atau lebih dikenali sebagai Jimi dalam kalangan penduduk tempatan reda dengan takdirnya, apabila kakinya terpaksa dipotong ekoran penyakit diabetes yang dihidapi sejak berumur 30 tahun.


Menurutnya, kali pertama kehilangan sebelah kaki kiri pada tahun 2016 tidak melemahkan semangatnya walaupun dia terpaksa berhenti kerja di sebuah anak syarikat Felda di Felda Kerteh 3, Terengganu.


“Kaki kanan pula dipotong pada penghujung tahun lepas. Masa itu, saya terpana kerana memikirkan bagaimana saya nak teruskan hidup, nak membesarkan anak-anak,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana apabila isteri, Norazlina Mohamad, 46 dan empat anaknya terus memberi semangat.


“Adik-beradik dan kawan-kawan tak henti beri sokongan. Jadi, saya tetapkan hati untuk berusaha mencari rezeki walaupun kaki dah tiada,” katanya kepada Sinar Harian.


Jimi berkata, orang lain yang tidak mempunyai anggota lengkap masih boleh berjaya dan meneruskan kehidupan seperti manusia normal, dia menyahut cabaran itu kerana  mempunyai anggota tubuh dan tangan yang kuat untuk bekerja.


Walaupun terpaksa merangkak untuk turun ke jeti, dia tidak kisah asalkan kehidupan isteri dan anak-anak lebih baik dengan pendapatan halal yang diusahakan.


Katanya, setiap hari dia akan ke sungai memasang lukah dengan menggunakan umpan hampas kelapa, biji kelapa sawit atau kelapa masam, dan akan melihat semula lebih 30 lukah itu pada keesokan harinya jika ada ikan atau udang yang terperangkap.


“Macam ni lah hari-hari, kalau saya tak turun seorang diri, anak-anak akan bantu. Mereka pun baru belajar ‘main’ sungai sebab baru setahun lebih pindah ke kampung semula.


“Tapi, mereka banyak membantu. Saya kawal enjin, yang abang dan adik tolong angkat lukah, kutip kalau ada ikan atau udang. Kalau ada rezeki, banyaklah dapat. Kalau tak, macam ni lah,” katanya lagi.

Syafiq Ikhwan dan Shaheer Irfan tidak kekok berada di sungai walaupun beberapa bulan menimba pengalaman sebagai anak nelayan darat.


Difahamkan, Jimi dan empat anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta beberapa bantuan lain bagi meringankan beban mereka.


Syafiq Ikhwan, 14 dan Shaheer Irfan, 13 yang sentiasa membantu bapanya, kelihatan selesa melakukan aktiviti di Sungai Pahang itu, walaupun beberapa bulan didedahkan dengan pengalaman baharu itu.


Menurut Syafiq Ikhwan, dia seronok mencari ikan dan udang malah tidak kekok berada dalam bot .


Katanya, dia kesusahan bapanya mencari rezeki untuk mereka.


Norazimie memberitahu, hasil tangkapan akan dijual di pekan sehari, pasar tani atau pasar pagi di sekitar Bera dan Temerloh.


“Tapi, ada juga orang telefon atau datang rumah untuk cari ikan dan udang. Kalau mereka beli di rumah, saya tak perlu nak keluar berniaga. Cuma tumpu di sini sahaja.


“Saya percaya, selagi kita rajin berusaha walaupun serba kekurangan sekali pun, insya-ALLAH akan sentiasa ada rezeki untuk kita.


“Sampai bila nak harapkan bantuan orang, selagi saya masih ada kudrat, saya akan usaha demi isteri dan anak-anak,” katanya.




 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]