Pesakit obesiti meningkat

in Edisi by


IPOH – Klinik Bariatik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang ditubuhkan pada September 2014 banyak membantu penghidap obesiti dalam memberi pendedahan  mengenai masalah obesiti, komplikasinya serta kaedah-kaedah menanganinya.


Selain pakar bedah, klinik ini turut dikendalikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk Perubatan Endokrin, Dietetik, Kaunselor, Psikiatri, Anesthesiologi dan lain-lain yang bekerjasama memberi pendekatan secara menyeluruh dalam merawat pesakit obes serta komplikasi mereka.


Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, mengikut perangkaan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, 5.7 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah obes dan 6.3 juta orang adalah pre obes manakala 9.6 juta kanak-kanak turut mengalami obesiti.


Menurutnya, perangkaan ini juga menunjukkan penyakit-penyakit yang berkait rapat dengan obesiti termasuk kencing manis, darah tinggi, dan kolesterol tinggi turut meningkat.


“Pembedahan bariatik laparoskopik pertama dilakukan di HRPB pada bulan November 2014. Sehingga kini, hampir 70 pesakit dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) di antara 35kg/m2 sehingga 79kg/m2 telah berjaya melalui pembedahan ini dengan purata pengurangan berat badan sehingga 40 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Simposium Obesiti 2018 di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, HRPB hari ini.


Tambah Hang Soon, Jabatan Pembedahan HRPB turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Kecemerlangan Antarabangsa (IEF) bagi Pembedahan Bariatik dan Metabolik apabila dianugerahkan keahlian IEF bagi tempoh tiga tahun bermula September 2015 hingga Ogos 2018.


Sementara itu, lebih daripada 250 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri Perak menyertai simposium ini untuk diberi pendedahan tentang gejala obesiti dan komplikasinya dan cara-cara untuk mengurangkan berat badan.


Dalam perkembangan lain, salah seorang daripada penghidap obesiti yang berjaya mengurangkan berat badan melalui diet sihat dan pembedahan, Daniel Thexieira, 47,  mengakui berat badan kini menjadikan kehidupannya lebih normal, sihat dan ceria.


Daniel yang bekerja sendiri mempunyai berat badan sekitar 147 kg sebelum melakukan pembedahan itu selain penyakit-penyakit berkaitan turut membelenggu dirinya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]