Produk Charms & Starglow teroka pasaran China

in Bisnes by


FASYEERA Empire Sdn Bhd, pengeluar produk kecantikan jenama Charms & Starglow, berhasrat meneroka pasaran China pada tahun ini dengan sasaran jualan sebanyak RM10 juta.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Bashirah Hussin berkata, inisiatif untuk meneroka negara yang mempunyai populasi besar itu selari dengan permintaan terhadap produk halal berasaskan kecantikan yang tinggi berikutan kurang penawaran untuk produk sedemikian.


“Kesedaran untuk menggunakan produk kecantikan yang berkualiti semakin meningkat di China tetapi mereka tidak mempunyai badan berkuasa bertauliah untuk memantau keselamatan dan kebersihan sesuatu produk, seperti yang kita ada di Malaysia iaitu Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).


“Ramai yang bimbang mengenai keselamatan produk yang kebanyakannya sekarang mengandungi merkuri.


“Ini membantu mereka kerana mereka tahu Islam amat mementingkan keselamatan dalam segala aspek,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 di Kuala Lumpur.


Nur Bashirah merupakan antara ahli panel dalam sesi bertajuk, ‘Securing Your Business in China’ yang diadakan bersempena pameran tersebut.


Beliau berkata, pelebaran sayap syarikat ke peringkat antarabangsa itu adalah dengan kerjasama Jakim, menerusi Serunai Commerce Sdn Bhd dan Malaysia-China (Beijing) International Halal Product Trading Co Ltd (MCBIHP).


Katanya kredibiliti pensijilan halal oleh Jakim, yang diperakui di seluruh dunia, memainkan peranan penting dalam mengkomersialkan produk Malaysia di China, sekali gus melonjakkan permintaan untuk produk Charms & Starglow.


“Kemasukan ke China melalui MCBIHP turut membantu meyakinkan pengguna tempatan untuk menggunakan produk kami berbanding masuk secara langsung melalui ejen.


“Dengan ini, kami juga berupaya untuk mendapatkan maklum balas secara dua hala daripada pengguna dengan kadar yang lebih pantas dan mudah,” katanya.


Dua produk jenama Charms & Starglow yang akan dieksport ke China adalah Fairy Face Scrub dan Serum Kaisya.


Bagi peringkat domestik, Nur Bashirah berkata, syarikat menjangka untuk memperoleh nilai jualan sebanyak RM16 juta pada tahun ini berbanding RM7.7 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.


Katanya beberapa produk baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini turut dijangka menyumbang kepada sasaran nilai jualan tersebut.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]