Rakyat kena buat pilihan bijak

in Edisi by


TEMERLOH – Rakyat diminta membuat penilaian rasional serta matang dalam memilih kerajaan yang bakal memerintah negara selepas ini.


Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berhubung pembubaran parlimen yang berkuat kuasa esok sekali gus memberikan laluan untuk PRU14 yang akan dijalankan.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata rakyat semakin bijak untuk menilai parti politik mana yang banyak berkhidmat kepada masyarakat serta membangunkan negara.


“Syabas kepada Perdana Menteri (Najib) kerana sepanjang lima tahun mandat diberikan rakyat beliau berkhidmat dengan cukup cemerlang… kita lihat mata wang ringgit semakin kukuh akhir-akhir ini.


“Ini menunjukkan ekonomi negara semakin berkembang maju serta berdaya tahan selama lima tahun di bawah kepimpinan Najib,” katanya dalam sidang media, selepas hadir merasmikan Minggu Sains Negara peringkat negeri di Dewan Tun Razak, hari ini.


Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Temerloh yakin rakyat akan membuat pilihan tepat apabila sekali lagi memilih BN untuk mentadbir negara berdasarkan rekod baik yang dikekalkan kepimpinan parti dan kerajaan.


Sementara itu beliau turut menempelak kepimpinan Pakatan Harapan yang hanya pandai mengkritik kerajaan tanpa memberikan sebarang cadangan serta penyelesaian dalam membangunkan negara.


“Mereka (pembangkang) hanya tahu memainkan sentimen emosi rakyat serta kritik tanpa beri penyelesaian. Tetapi BN lain kita beri cadangan dan kita laksanakan,” katanya.


Mengulas manifesto yang akan dibentangkan Najib esok, Mohd Sharkar berkata ia semestinya merangkumi kehendak dan keperluan rakyat secara holistik.


“Saya yakin manifesto itu akan menjanjikan masa depan yang cemerlang kepada rakyat Malaysia dan membawa negara ke arah negara maju… apa yang kita janjikan hampir semua dipenuhi dan rakyat boleh nilai perkara itu sendiri,” katanya lagi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]