Senarai calon: Pas bakal tampil kejutan

in Politik by


SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan tidak menolak berkemungkinan akan ada kejutan dalam senarai calon yang akan diperkenalkan untuk bertanding pada PRU14.


Pesuruhjaya Pas negeri, Mustafa Daharun berkata, bagaimanapun pengumuman secara rasmi barisan calon mereka hanya akan diumumkan selepas Parlimen dibubarkan.


“Kita tak kisah pun parti lain dah umum calon mereka jika itu strategi untuk menarik undi. Tapi Pas Negeri Sembilan hanya akan buat pengumuman secara rasmi memperkenalkan calon selepas Parlimen dibubarkan.


“Jika PRU13 seorang calon kita seorang penyanyi, tapi kali ini tak mustahil akan ada kejutan lain yang akan kita tonjolkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.


Menurutnya, jika ada yang mana-mana bahagian yang telah pun memperkenalkan calonnya, ia bukanlah secara rasmi kerana surat watikah pelantikan masih belum dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura.


Selain itu beliau berharap tidak berlaku unsur sabotaj membabitkan calon terutamanya selepas senarai calon diumumkan kerana ia dibuat secara demokrasi bukannya mengikut kroni.


“Apa sahaja keputusan yang telah diputuskan oleh parti perlulah dihormati kerana tanggungjawab sebagai pemimpin  bukanlah untuk berseronok, tetapi satu amanah.


“Soal calon kita dengar pandangan dari setiap kawasan dan ia dipersetujui dalam mesyuarat mereka sebelum ditapis di peringkat negeri dan barulah dibawa kepada kepimpinan pusat untuk dibuat penilaian,” katanya.


Sementara itu Mustafa berkata, sehingga kini mereka masih kekal dengan keputusan bertanding di kesemua kerusi di negeri ini iaitu lapan kerusi Parlimen dan 26 kerusi Dun.


Mengenai komen negatif yang berterusan dilemparkan oleh Pakatan Harapan kepada parti itu, Mustafa berkata, kritikan itu sedikit pun melemahkan mereka untuk terus berjuang menghadapi pilihan raya.


“Biasalah itu kenyataan dari pesaing parti. Tapi kalau nak kritik pun, biarlah secara profesional dan adil. Janganlah timbulkan fitnah.


“Perbezaan pandangan itu perkara biasa, tapi nak berpolitik pun biarlah secara matang,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]