SINAR4ROHINGYA terus pejuang nasib Rohingya

in Nasional by


SHAH ALAM – SINAR4ROHINGYA tetap komited meneruskan peranan dalam membantu etnik Rohingya yang tertindas di bumi sendiri.


Penaung SINAR4ROHINGYA, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tanggapan negatif pihak luar mengenai nasib etnik Rohingya yang berada di negara ini menjadi satu platform untuk kempen ini diusahakan dengan lebih baik.


“Kelmarin saya menonton satu laporan khas media antarabangsa yang melaporkan mengenai orang-orang Rohingya di negara ini. Semuanya adalah negatif sedangkan majoriti pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat di bawah SINAR4ROHINGYA sedang berusaha keras membantu etnik Rohingya di kem-kem pelarian yang ada.


“Jadi kita berazam untuk terus membantu etnik Rohingya yang memerlukan,” katanya pada Program Untukmu Rohingya Townhall 4.0 di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.


Katanya, bagi memperkasakan pengurusan dana SINAR4ROHINGYA, Yayasan Nur-Karangkraf akan memainkan peranan aktif dalam membantu usaha ini.


“Sebelum ini Sinar Harian terlibat secara separuh masa dalam menguruskan pengurusan kutipan dana SINAR4ROHINGYA.


“Namun setelah beberapa perbincangan diadakan, kita tumpukan yayasan ini bagi membantu pengurusan dana sedia ada untuk buktikan dan memberi maklum balas laporan negatif media antarabangsa tersebut agar gambaran sebenar dapat dilihat,” katanya.


Program Untukmu Rohingya ini turut dihadiri oleh Datin Seri Shamsidar Taharin, isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Sementara itu, Setiausaha Sekretariat SINAR4ROHINGYA, Norden Mohamed berkata,  kempen ini telah berjaya mengumpul 105 NGO menyertainya.


“Masing-masing memainkan peranan membantu etnik tertindas itu dari segi pendidikan, kemanusiaan, ekonomi dan advokasi.


Tambah Norden, di kem pelarian di Bangladesh, antara aktiviti bantuan digerakkan ialah mengaji al-Quran, solat termasuk aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan.


“Kita ajar pelarian membuat roti prata, donat dan menjahit telekung untuk meningkatkan ekonomi. Mereka bukan sahaja diselamatkan malah diajar cara hidup bermasyarakat,” ujarnya.


Bukan itu sahaja, Norden memaklumkan, tenaga-tenaga pengajar mendidik anak-anak Rohingya bagi membantu mereka membina negara mereka semula.


“Alhamdulillah, pelarian-pelarian Rohingnya kini semakin berubah, jika dahulu hidup tanpa arah tujuan  kini mereka tahu berdikari dan hidup beragama,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]