Suami isteri cari ibu kandung Nur Amirah Sorfina

in Edisi by


KLUANG – Sepasang suami isteri berusaha mencari ibu kandung anak angkatnya, Nur Amirah Sorfina Abdul Sobur, 5, bagi mempermudahkan proses angkat sumpah pengambilan anak angkat.


Zaid Jusoh,42, menemui jalan buntu apabila tidak dapat menghubungi ibu kandung anak angkat yang dijaga sejak berusia 37 hari.


Menurutnya, ibu kandung Nur Amirah Sorfina, Mardziah Ar Raaqibbah berusia lingkungan 30-an menyerahkan anaknya kepada ibu saudaranya ketika di Kuala Lumpur.


“Ibu saudara wanita itu sebagai orang tengah dan kemudian menyerahkan Nur Amirah Sorfina kepada isteri saya, Kasma Shafiee, 45.


“Ketika penyerahan tersebut dilakukan, hanya sijil daftar kelahiran yang tidak lengkap dengan butir-butir peribadi kedua ibu bapa bayi berkenaan dan surat keizinan pengangkatan diserahkan kepada saya.


“Penyerahan dilakukan di Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya, Selangor manakala pada masa itu saya tinggal di Jalan Merbau, Kampung Melayu Ampang, Selangor,” katanya ketika ditemui, semalam.


Zaid berkata, disebabkan dokumen diperoleh tidak lengkap, dia berusaha menjejaki ibu kandung anak angkatnya itu kira-kira dua tahun selepas Nur Amirah Sorfina dilahirkan.


Namun, dia menemui jalan buntu berikutan mendapat maklumat wanita berkenaan berpindah ke kampung halamannya di Perak.


“Saya dan isteri juga mencarinya di kampung, namun tidak menjumpai malah mendapat maklumat ibu kandung anak angkat saya ini telah berkahwin dan tinggal di Sabah kerana ikut suaminya.


“Kini, Nur Amirah Sorfina berusia lima tahun dan kami perlukan dokumen diri yang lengkap bagi memudahkan membuat urusan khususnya dalam soal pendidikan, kebajikan dan kesihatannya pada masa akan datang.


“Malah, sekarang ini ibu saudara kepada wanita itu juga turut tidak dapat dihubungi,” katanya.




 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]