Syamil komunikasi guna kad alfabet

in Edisi Terengganu by


PERMAISURI – Pesakit kanser otak tahap empat, Syamil Nur Iman Mohd Nazri, 10, terpaksa menggunakan kad alfabet untuk mengeja perkataan yang sukar disebut ketika berkomunikasi dengan ahli keluarganya.


Dia kini terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan selepas mendapatkan rawatan awal di Hospital Setiu.


Menurut ibu Syamil, Zulaikha Draman, 35, berkata, anak sulungnya itu dikejarkan ke Hospital Setiu setelah mengalami kesukaran bernafas dan bibir pucat selepas muntah pada Ahad lalu.


“Sebelum tu dia (Syamil) makan separuh mangkuk nasi yang sudah dikisar, lebih kurang 15 minit kemudian dia muntah dan sesak nafas serta bibir menjadi pucat.


“Di Hospital Setiu, Syamil diberi nebulizer dan oksigen malah Xray di bahagian dada pun dibuat sebelum dipindahkan ke HUSM,” katanya kepada Sinar Harian.


Zulaikha yang juga seorang pensyarah bidang kejururawatan di Kolej Universiti Bestari (UCB) berkata, semasa di wad kecemasan HUSM,  Syamil mengalami sawan selama 60 saat dan diberi ubat penenang.


Keputusan ujian saringan di kepalanya menunjukkan ketumbuhan semakin membesar dan menyekat laluan air di kepala.


“Doktor mencadangkan pembedahan ‘shunt’ kepala boleh dilakukan untuk membuang air itu tetapi kami menolak memandangkan keadaannya yang kritikal.


“Buat masa ini Syamil diberi minum susu melalui tiub dan mendapat rawatan antibiotik,” katanya.


Zulaikha berkata, Syamil dalam keadaan sedar dan masih boleh mengikut arahan cuma dia tidak dapat sebut perkataan dengan baik sehingga terpaksa menggunakan kad alfabet jika ingin menyebut sesuatu.


Manakala Mohd Nazri berkata, doktor menasihatkan mereka sekeluarga yang kini ‘berkampung’ di rumah tumpangan berdekatan HUSM bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan keadaan kesihatan Syamil semakin merosot.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan mengharapkan doa daripada semua pihak untuk Syamil.


Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan peserta Naib Johan Hafazan peringkat negeri 2017 kategori sekolah rendah, Syamil Nur Iman, 10, kini bertarung nyawa melawan penyakitnya apabila disahkan mengidap kanser otak tahap empat Januari tahun ini.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]