‘Tolong baik pulih segera jambatan maut’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BEMBAN – Pihak berkenaan meminta pemaju projek perumahan Taman Tuah Perdana, Tehel di sini melaksanakan tindakan segera membaik pulih sistem jalan jambatan di taman itu.


Ia berikutan jalan tersebut sering menjadi punca kemalangan kepada pengguna jalan itu yang merupakan laluan utama untuk keluar dan masuk.


Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon berkata, pada perjumpaan diadakan pertengahan bulan lalu, pihaknya bersama agensi terlibat telah meminta pihak pemaju menjalankan kerja-kerja itu serta merta.


Menurutnya, bagaimanapun, tindak balas pemaju agak mengecewakan dan sehingga kini tiada kerja lanjutan dibuat.


“Kami telah adakan perjumpaan sekali lagi dan ini amaran daripada saya supaya mereka tidak mengambil mudah perkara ini.


“Pihak pemaju maklumkan mereka mahu berbincang dengan penduduk terlebih dahulu, tetapi perbincangan sahaja tidak mencukupi.


“Sampai bila hendak berbincang? Masalah ini tidak akan selesai jika tiada tindakan dilakukan,” katanya.


Jelas Choon Koon, kemalangan maut berlaku bulan lalu juga sangat membimbangkan penduduk dan memberi kesan mendalam kepada mereka.


“Saya tidak mahu perkara sama berulang, kerana itu saya arahkan pemaju supaya buat kerja-kerja menaik taraf sistem jalan tersebut secepat mungkin,” katanya.


Perjumpaan melibatkan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Ahli Majlis Kawasan, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 23 serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjong Labuh, Tehel.


Hadir sama, Pengerusi Taman Tuah Perdana, Abu Bakar Othman.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]