BN gagal fahami agenda diusul: Harapan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (Harapan) Johor nafi manifesto yang dibentangkan semalam ciplak usaha dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.


Timbalan Pengerusi Biro Tawaran dan Dasar Pakatan Harapan Johor, Dzulkefly Ahmad mendakwa, huraian serta pengelasan manifesto parti berkenaan adalah tidak sama kerana BN tidak mempunyai informasi yang lengkap serta gagal memahami sepenuhnya agenda yang telah diusulkan.


Oleh demikian, beliau berkata, rakyat seharusnya bijak dan mengambil langkah memahami sepenuhnya apa ingin disampaikan Harapan sebelum termakan kenyataan daripada kerajaan negeri.


“Daripada 10 dibentangkan tujuh manifesto belum pernah dilakukan mereka tetapi tiga itu yang seakan sama. Sebagai contoh, usul air percuma yang mana kerajaan memang mengeluarkan bantuan 35 meter padu air tetapi ia hanya melibatkan asnaf, miskin tegar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana memberi manfaat kepada 7,000 pemegang akaun sahaja.


“Kita pula tawarkan 10 meter padu sahaja tetapi untuk golongan capaian khususnya B40  yang mana skop sokongan dan penerima manfaatnya lebih luas sehingga mencecah kepada 138,000 akaun,” katanya kepada Sinar Harian.  


Dzulkefli berkata, berhubung isu perumahan pula, sasaran 100,000 unit rumah itu bukan bermaksud mahu meniru keupayaan BN tetapi menjelaskan yang projek sedia ada berlangsung sangat perlahan dan tidak mencapai sasaran.


“Memang kita cadangkan untuk bina 100,000 unit tetapi dalam masa lima tahun yang mana puratanya adalah 20,000 unit dibina setiap tahun, berbeza dengan BN mereka mempunyai sasaran 60,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang ingin disiapkan menjelang 2020.


“Maknanya 10,000 unit sahaja setahun, jadi ia tidak sama. Jumlah ini kita kira pencapaian mereka daripada tahun 2014 sejak pengenalan projek RMMJ ini, kerajaan negeri hanya mampu menyiapkan 16,010 unit sehingga Oktober tahun lalu yang mana hanya 27 peratus daripada sasaran mereka.


“Mengikut rekod yang kami faham, sasaran 60,000 mereka itu tidak akan tercapai kerana perjalanan projek yang perlahan,” katanya.


Bagi memastikan kelancaran projek, beliau berkata, Harapan akan memperkenalkan usul tender terbuka kepada setiap projek pembangunan kerajaan.


Dalam pada itu, Dzulkefly turut memberi teguran kepada BN agar memahami dahulu perkara yang ingin dipersoalkan sebelum membuat tuduhan melulu seolah-olah Harapan tidak membuat kajian.


“Kita dah gerakkan unit ini sejak setahun lalu, dibantu pakar dan golongan profesional untuk mengira setiap jumlah dan angka yang berlaku dalam kemajuan di Johor.


“Disebabkan itu kita datangkan solusi kepada mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]