Habis jahanam Liga-M 'sebab dia'….

in Sukan by


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan hasrat Kuantan FA mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) di pertengahan musim ini sebagai menyusahkan!


Pemangku presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya difahamkan bukan sahaja Kuantan FA, bahkan Marcerra United FC yang bernaung di bawah satu bumbung juga akan mengambil jalan yang sama.


Namun, jelasnya sehingga hari ini badan induk itu masih belum menerima sebarang permohonan rasmi.


“Memang betul-betul menyusahkanlah kalau mereka (Kuantan FA) betul-betul tarik diri. Sebab bukan satu tapi dua pasukan yang terlibat iaitu di Liga Premier dan Liga FAM.


“Bila jadi macam ini, banyak benda akan berubah. Jadual perlawanan, kiraan mata, dan macam-macam lagi perlu diambil kira. Nak bawa pasukan lain masuk pun tak boleh sebab kita dah di pertengahan liga.


“Memang haru-biru jadinya. Sebab itu saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini,” katanya ketika dihubungi.


Mengulas tindakan yang bakal diambil badan induk itu kepada Kuantan FA dan Marcerra United FC, Mohd Yusoff berkata itu semua terpulang kepada jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan nanti.


“Kalau ikut saya, pasukan macam ini dah tak patut ada dalam saingan liga kita. Ban terus! Hanya tahu menyusahkan orang sahaja,” tegasnya.


Pada masa sama, Mohd Yusoff turut menafikan pihak FAM gagal mengawal isu yang berlaku ini sehingga memaksa ramai pemain dan staff kejurulatihan angkat kaki dari pasukan.


“Setiap aduan, kami perlu selesaikan mengikut saluran. Sebelum ini bila kami terima maklumat tunggakan gaji, kami telah berhubung sendiri dengan pihak pengurusan dan pada waktu itu mereka kata mereka sedang uruskan. Tapi tak sangka sampai ke sudah mereka tidak melunaskan janji dan pada akhirnya dapat berita kata nak tarik diri.


“Jadi, nasihat saya untuk pemain, gunakanlah saluran yang tersedia. Pihak FAM akan cuba bantu sehabis mungkin agar nasib dan hak mereka terbela,” katanya lagi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]