Hidup kembali penerbangan XpressAir

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Kerajaan negeri berharap syarikat penerbangan Indonesia, XpressAir, dapat memulakan kembali penerbangan dari Melaka ke beberapa destinasi di republik berkenaan selepas ia diberhentikan.


Menurut Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Lim Ban Hong, penerbangan terbabit diberhentikan sebelum ini ekoran langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan.


Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berharap hubungan udara itu dapat dihidupkan kembali dalam usaha mempopularkan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dalam kalangan pelancong Indonesia.


“Sebelum ini Malindo Air dan XpressAir merupakan dua syarikat penerbangan yang gunakan LTAM. Tetapi selepas XpressAir memberhentikan perkhidmatan mereka, hanya Malindo Air yang masih guna LTAM, selain pesawat-pesawat peribadi yang sering kali menggunakan LTAM,” katanya di sini.


Sebelum diberhentikan, XpressAir mengendalikan penerbangan berjadual dari LTAM ke Pekanbaru, Indonesia, dengan penerbangan sambungan ke Palembang, Lampung dan Tanjung Pinang.


Ban Hong juga berkata, kerajaan negeri turut berharap Malindo Air akan mulakan semula penerbangan dari LTAM ke Kota Bharu, Kelantan.


Menurutnya, penerbangan berkenaan walaupun agak popular, telah diberhentikan ekoran penstrukturan semula jadual penerbangan oleh Malindo Air.


“Di pihak kerajaan negeri, kita sememangnya berharap yang Malindo Air akan memulakan semula penerbangan Melaka-Kota Baru ini,” katanya.


Buat masa ini, Malindo Air hanya mengendalikan penerbangan berjadual dari LTAM ke Pekanbaru dan Pulau Pinang.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]