Kedai sewa disimbah cecair merah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Sebuah kedai percetakan yang disewakan kepada seorang pemuda itu telah disimbah cat merah malam semalam, dipercayai terlibat dengan pinjaman ah long.


Menurut pemilik bangunan tersebut, A Ilaveni, 60, premis dua tingkat yang menggunakan nama Kedai Percetakan Future Station Print, di Taman AST itutelah disewakan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Celvin, 31.


Katanya, dia dimaklumkan bahawa ah long mahu membakar dan memusnahkan kedai itu, sekiranya Celvin tidak munculkan diri.


“Sejak dua minggu lalu, kedai yang disewa oleh Celvin itu diganggu oleh ah long. Mereka juga ada mengugut untuk membakar serta mengambil peralatan dalam kedai itu jika gagal mendapatkan Celvin.


“Masalahnya sekarang, kedai itu adalah kedai saya. Saya rasa ah long sudah silap, mereka ingat kedai itu adalah milik Celvin, sedangkan dia hanya menyewa di situ.


“Celvin sudah menyewa di kedai saya sejak enam bulan lalu, tetapi baru dua minggu ini ah long mula mencarinya. Saya percaya hal ini mesti ada kaitan dengan pinjaman wang,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.


Katanya, sejak dua minggu lalu dia tidak pernah berjumpa dengan Celvin, malah panggilan telefon juga tidak dijawab.


Bimbang dengan keselamatan kedainya itu, dia akhirnya membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan harta bendanya.


Kata IIaveni, laporan polis dibuat kerana khuatir perkara tidak diingini berlaku, memandangkan dia sendiri tidak pernah terlibat dengan mana-mana pinjaman tidak berdaftar.


Satu laporan polis juga dibuat terhadap tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyimbah cecair berwarna merah di hadapan premis kedainya hari ini, di Balai Polis Jalan Campbell.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]