Kongsi penderitaan Rohingya

in Nasional by


WAKIL pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama wartawan yang menyertai misi bantuan rakyat Rohingya di bawah SINAR4ROHINGYA berkongsi satu rasa mengenai penderitaan mangsa penghapusan etnik itu.


Sepanjang program Kongsi Rasa sempena Untukmu Rohingya Townhall 4.0 rata-rata panel yang diundang mengakui penderitaan yang dialami etnik Rohingya tersebut bukanlah satu perkara yang mampu dilupakan seumur hidup mereka.


Ketua Media Sosial Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Shukri Othman berkata, pengalaman menyaksikan ketibaan pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh memberi impak besar terhadap diri dan teman-teman seperjuangannya.


“Saya berkesempatan menjadi individu terawal menyambut kedatangan mereka dan suasana ketika itu sangat sayu dan sedih kerana kami bukan hanya menyambut mereka yang masih hidup, tapi ada juga yang telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sempadan.


“Mereka yang masih hidup pula berada dalam keadaan yang sangat lemah kerana ada yang tidak makan sepanjang perjalanan apatah lagi ketika itu adalah musim sejuk dan hujan sepanjang hari. Kami tidak dapat bayangkan apa yang berlaku sepanjang perjalanan mereka itu,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, situasi itu juga menjadi kenangan manis apabila berpeluang menghulurkan bantuan terawal kepada pelarian yang selamat tiba di sempadan Bangladesh.


“Walaupun bantuan tidak banyak, namun ia cukup membantu keadaan mereka pada masa tersebut. Sememangnya keadaan ketika itu amat memberi impak kepada kami sehingga ke hari ini,” katanya.


Sementara itu, perkongsian wartawan Sinar Harian, Hidayah Hairom yang berkesempatan membuat liputan mengenai mangsa Rohingya mengakui keadaan sebenar kem pelarian Balukhali, Cox’s Bazar tidak seperti yang digambarkan.


“Bila saya sampai di kem tersebut, keadaan adalah jauh daripada apa saya bayangkan. Apa yang saya sering saya fikirkan ketika itu, bagaimana mereka meneruskan hidup dalam keadaan kem yang serba daif,” katanya.


Katanya, cabaran paling hebat yang dilalui adalah untuk menggambarkan penderitaan pelarian Rohingya dalam bentuk penulisan kepada dunia.


Sementara itu, Liza Hassan yang juga merupakan wartawan Sinar Harian mengakui air matanya tidak pernah kering menyaksikan nasib dan kedaifan pelarian di kem tersebut.


“Ini bukan kali pertama saya membuat liputan mengenai pelarian, namun kali ini apa yang berlaku di depan mata saya sangat menginsafkan. Terus terang, setiap hari air mata saya tumpah melihat sendiri penderitaan mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]