Lapor kes dadah kepada AADK

in Edisi by


KUANTAN – Komuniti setempat boleh melaporkan sebarang kes dadah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuantan bagi mengekang gejala itu.


Penolong Pegawai AADK Kuantan, Hamiza  Hazali berkata, melalui program Perangi Dadah Habis – Habisan  ( PDH), penglibatan komuniti amat dialu-alukan.


Menurutnya, Beserah menjadi lokasi pilihan untuk dua tahun berturut-turut bermula tahun lalu.


“Kita pilih lokasi ini berdasarkan kawasan yang berisiko di dalam daerah selain Kuala Kuantan.


“Aduan yang kita dapat dari Januari hingga Mac 2018 adalah dua kes berbanding tujuh kes tempoh sama tahun lalu untuk Mukim Beserah manakala jumlah orang kena pengawasan sepanjang tahun lalu adalah  32 orang,” katanya ketika ditemui pada program Perangi Dadah Habis – Habisan  ( PDH) anjuran Biro Wanita Persatuan Mencegah Dadah Malaysia( Pemadam)  Daerah Kuantan, semalam.


Hadir sama , Pengerusi Biro Wanita Pemadam Kuantan, Nor Azlinda Abdullah.


Hamiza berkata, masyarakat perlu dilibatkan bersama dalam usaha membasmi dadah dengan melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.


Katanya, PDH merupakan usaha sama dalam kalangan komuniti setempat bagi memberi kesedaran tentang permasalahan dadah.


“Komuniti boleh melaporkan kegiatan itu sama ada berlaku di kawasan sekitar atau di dalam keluarga sendiri. AADK akan melakukan risikan dan siasatan terhadap laporan yang diterima sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.


Pada program itu, sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak secara gotong-royong bersama komuniti setempat.


Sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]