'Mahathir jangan anak tirikan Pantai Timur lagi'

in Nasional by


SHAH ALAM – Pemuda Pas menyelar pandangan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan hasrat membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan memenangi PRU14.


Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sikap Mahathir seolah-olah menunjukkan beliau berdendam dengan rakyat di negeri Pantai Timur dan ia ternyata telah berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri lagi.


“Pas berpengalaman dicengkam ekonomi dan ditarik subsidi minyak Petronas di Kelantan dan Terengganu ketika zaman pemerintahan beliau.


“Rekod pengkhianatan kepada rakyat pantai timur tidak berakhir begitu sahaja, Mahathir sekali lagi di waktu pemerintahan beliau dengan sengaja menyekat pemberian ikut kepala (capitation grant) kepada Kerajaan Kelantan. Pemberian capitation grant ini sepatutnya dibayar kembali kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan hasil kutipan cukai daripada rakyat negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau mendakwa, dendam kesumat Mahathir mengatasi segalanya dan beliau lebih berselera menjadikan rakyat pantai timur sebagai mangsa nafsu peribadi akibat kegagalan agenda politik beliau dahulu.


“Kali ini, Pengerusi Harapan itu meluahkan hasrat untuk membatalkan ECRL yang sedang giat dijalankan. Pembinaan yang bertujuan menghubungkan pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung ini sepatutnya dilihat dari aspek makro bukan semata atas sentimen politik,” katanya.


Jelasnya, projek infrastruktur berimpak tinggi itu akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari aspek kesalinghubungan antara kawasan industri, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan, pengkomersialan barang dagangan di samping menawarkan perjalanan alternatif kepada rakyat.


“Pas kekal berpendirian untuk bersama membangun ekonomi rakyat khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mewakili 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia.


“Di samping itu, Pas juga melihat Foreign Direct Investment (FDI) baik untuk, bukan sahaja silang ilmu dan kepakaran, tetapi juga memberi kebaikan untuk aliran ekonomi negara serta rakyat,” katanya.


Meskipun bersetuju dengan projek tersebut, Muhammad Khalil menekankan bahawa perlunya perbelanjaan berhemah, telus dan tidak berlaku ketirisan.


“Amalan rasuah perlu dibendung supaya kos tidak melambung tinggi kerana akhirnya yang rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat sikap tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]