MCA atau Umno bertanding di Parlimen Kuantan?

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Kerusi Parlimen Kuantan masih menjadi rebutan antara parti komponen dalam BN sama ada akan dipertandingkan oleh calon MCA atau Umno.


Difahamkan sehingga kini belum ada keputusan muktamad dicapai, tetapi dijangkakan selesai sebelum hari penamaan calon.


Di laman Facebook hari ini, tular gambar Timbalan Ketua Umno Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar yang diuar-uarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kuantan pada PRU14.


Bagaimanapun, Ab Hamid ketika dihubungi Sinar Harian tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.


Jelasnya, setakat ini kerusi tersebut masih dalam perebutan antara kedua-dua pihak.


“Saya tak tolak kemungkinan MCA akan bertanding di kerusi itu, tapi belum ada watikah lagi,” katanya.


Beliau juga berkata, semangat berpasukan antara Umno dan MCA sentiasa ada bagi memastikan BN menang di kerusi terbabit pada pilihan raya kali ini.


“Tak kira siapa calon sama ada dari Umno atau MCA, mesti ada semangat kerjasama, permuafakatan dan berpasukan,” katanya.


Sementara itu, MCA pula berharap kerusi terbabit dikembalikan kepada parti itu.


Pengerusinya, Datuk Hoh Khai Mu berkata, sebelum ini MCA atas semangat setia kawan memberi laluan kepada Umno untuk bertanding kerusi berkenaan pada PRU13, tetapi gagal memenanginya dari parti pembangkang sejak 2008.


“Menjadi hasrat kita kerusi Parlimen Kuantan ditandingi calon daripada MCA.


“Bagaimanapun, segala keputusan kita serah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya,” katanya.


Jika kerusi Parlimen Kuantan dikembalikan kepada MCA, Khai Mun berkata, parti itu kemungkinan akan mencalonkan Pegawai Khas Menteri Pengangkutan, Datuk Andrew Wong Kean Hwee untuk bertanding di situ.


Bagaimanapun, katanya, MCA sedia memberi kerjasama kepada mana-mana parti dalam kalangan BN yang bertanding di kawasan ibu negeri Pahang itu jika calonnya tidak dapat bertanding di situ.


“Pengundi di Kuantan sudah kenal (Andrew), beliau selalu turun padang dan buat kerja di peringkat akar umbi, kami yakin dengan kemampuan dia jika dicalonkan,” katanya.


Katanya, punca kekalahan BN dalam pilihan raya lalu turut disumbangkan faktor sabotaj sesama sendiri.


Beliau mengingatkan, kemenangan BN dalam PRU14 amnya dan Parlimen Kuantan khususnya menjadi keutamaan MCA berbanding konflik perebutan sesuatu kawasan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]