Musa akan mengemudi BN capai kejayaan besar di Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, yang disanjung ramai  kerana kejayaannya mengurus kewangan negeri ini dengan cekap dan mengamalkan kesederhanaan, akan sekali lagi menerajui Barisan  Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya bagi menentang pakatan  longgar  pembangkang setelah  mencatat kemenangan luar biasa pada pilihan  raya umum 2008 dan 2013.


Ketika mengorak langkah pertamanya sehari selepas pengumuman tentang pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah, Musa, yang juga pengerusi BN negeri, menyeru rakyat Sabah supaya membuat keputusan dengan bijak dan tidak sekali-kali memperjudikan masa depan mereka dengan  menyokong pembangkang.


“Pilihlah dengan bijak dan jangan memperjudikan masa depan anak-anak kita. Kami berharap rakyat  Sabah akan terus menyokong kerajaan BN bagi menjamin kejayaan besar parti gabungan itu pada PRU14 nanti,” katanya.


Pemimpin yang cukup berkarisma ini telah menerajui BN negeri bagi mencatat kejayaan luar biasa  pada pilihan raya umum 2008 dengan menguasai 24 daripada 25 kerusi Parlimen dan 59 daripada 60 kerusi negeri serta mengulangi kejayaan itu pada pilihan raya umum 2013 dengan memenangi 22 daripada 25 kerusi  Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi negeri yang dipertandingkan.


Pilihan Raya Umum 2013 merupakan yang paling sengit pernah dihadapi BN kerana ketika itu, angin perubahan kelihatan begitu menggerunkan, hingga ramai yang terpedaya untuk mempercayai kemujaraban  slogan  “Ini Kali Lah” serta yakin BN akan kecundang di tangan Pakatan Rakyat. Bagaimanpaun, apa yang berlaku  adalah sebaliknya.


Berikutan keadaan pembangkang yang berpecah-belah, kemungkinan akan berlaku pertandingan satu  lawan satu antara BN dan sebuah gabungan pembangkang yang padu di Sabah, nampaknya akan menjadi impian semata-mata.


Pembangkang berpecah kepada tiga blok iaitu pakatan longgar antara Parti Warisan Sabah (PWS) dan Pakatan Harapan (DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara), Perikatan Bersatu Sabah (USA), yang terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai anggota Dewan Undangan Negeri Bingkor Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pimpinan anggota Dewan Undangan Negeri  Klias Datuk Seri Lajim Ukin, Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas ketua menteri Datuk Yong Teck Lee dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) diketuai Mohd Arshad Abdul Maulap serta pakatan yang baru ditubuhkan, Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Wilfred Bumburing dan Parti Kerjasama Anak Negeri pimpinan Datuk Henrynus Amin.


Keadaan itu akan memberi kelebihan kepada BN untuk mencatat hat-trick, sekali gus mencipta sejarah bagi pilihan raya Parlimen dan negeri, yang dijangka diadakan dalam masa sebulan akan datang.


Walaupun kemunculan PWS, yang diterajui bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,  mencetuskan gelombang kecil dalam arena politik Sabah, para peramal politik berpendapat BN tetap  mempunyai kelebihan kerana pertandingan pelbagai penjuru akan menguntungkan parti gabungan yang memerintah itu seperti yang terbukti pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.


Mereka bagaimanapun meramalkan BN negeri yang terdiri daripada UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Gerakan, MCA dan MIC akan berdepan cabaran hebat daripada PWS dan Pakatan Harapan.


Penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung berkata,  “politik menjadi topik perbahasan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia sepanjang masa, bukan semasa pilihan raya sahaja dan oleh itu, adalah perkara biasa apabila semua perkara dikaitkan dengan politik”.


“Senario politik pada pilihan raya akan datang (PRU14) berbeza sepenuhnya daripada pilihan raya umum lepas. Sebelum PRU13, khabar angin bahawa angin perubahan akan melanda dan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan persekutuan daripada BN, kelihatan begitu meyakinkan.


“Kali ini, kita dapat melihat perpecahan berlaku di pihak pembangkang – pertelagahan berhubung peruntukan kerusi,” katanya.


Lee berkata satu lagi faktor yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah ialah kesungguhan kerajaan BN dalam menangani pelbagai isu yang menjejaskan negeri ini, khususnya dari segi keselamatan dan infrastruktur.


“Berikutan penubuhan ESSCom,  keadaan keselamatan di negeri ini, terutama di pantai timur, bertambah baik dengan begitu ketara sekali dan pada tahun lepas (2017) tidak belaku penculikan yang melibatkan rakyat Malaysia di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone).


“Ini bermakna, langkah keselamatan diambil ESSCom bagi mengawal ESSZone terbukti berkesan dan sudah tentu memberi kelebihan tambahan kepada BN,” katanya.


Selain itu, kata beliau, projek Lebuhraya Pan-Borneo juga akan membawa manfaat besar kepada rakyat Sabah, dan ini adalah hasil daripada usaha kerajaan BN.


Beliau berkata adalah jelas bahawa kebanyakan parti politik cuba mengambil kesempatan daripada isu tempatan, terutama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), untuk menawan hati dan minda rakyat Sabah.


“Jangan terperanjat sekiranya anda melihat ahli politik cuba meniru idea ‘Sarawak untuk Rakyat Sarawak’. BN dan pembangkang memasukkan MA63 ke dalam manifesto masing-masing. Kita harap ini bukan suatu gimik politik bagi tujuan berkempen semasa pilihan raya,” katanya.


Lee berkata faktor rasa selesa dengan pentadbiran yang baik oleh kerajaan Sabah di bawah pimpinan Musa, terutama dalam membawa pembangunan yang meliputi pelbagai aspek untuk seluruh rakyat serta  penerimaan terhadap dasar transformasi baharu yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berdasarkan konsep 1Malaysia, juga akan menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya ini nanti.


Bagaimanpun, beliau meramalkan BN akan menghadapi cabaran besar untuk menawan kembali kawasan dikuasai DAP seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Sri Tanjung, Likas, Luyang, serta akan menerima tentangan kuat daripada pembangkang di kawasan bandar dan pinggir bandar.


Lee berkata ini termasuk kerusi Parlimen Semporna, Silam, Batu Sapi, Tawau, Beaufort, Penampang, Sepanggar, Pensiangan, Keningau, Kota Marudu dan kerusi negeri Api-Api, Inanam, Moyog, Tamparuli, Kiulu, Elopura, Karamunting, Bingkor, Kadamaian, Kapayan, Matunggong, Klias, Sekong, Kunak, Tungku, Senallang, Sulabayan dan Bugaya.  


Seorang lagi pemerhati politik, Luis Lidong, pula berkata BN mempunyai kelebihan di atas kertas dan tentangan daripada PWS yang dipimpin Shafie serta sekutunya, Pakatan  Harapan, melalui suatu perikatan strategik, tidak patut dipandang ringan.


“Dalam politik, tiada perkara yang mustahil…politik boleh berubah. Sebagai contoh, tiada siapa menjangka Parti Berjaya (parti memerintah di Sabah ketika itu) akan kalah teruk kepada PBS pada pilihan raya negeri 1985…tetapi, itulah yang berlaku,” katanya.


Menyentuh tentang peluang BN untuk memenangi pilihan raya negeri akan datang, Luis bersetuju dengan pandangan Lee dan menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan pemimpin negeri daripada  UMNO, yang merupakan tulang belakang kerajaan BN Sabah, dan selaku pemimpin BN negeri, boleh  membawa kemenangan bagi BN.


“Sebagai ketua UMNO Sabah, Musa mempunyai hubungan baik dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia).


“Daripada apa yang dapat saya lihat, komunikasi secara rapat antara dua pemimpin UMNO Sabah itu dengan rakyat, menjadi faktor yang memacu pembangunan seperti yang sedang dilaksanakan di negeri  ini…kedua-dua pemimpin ini mengutamakan kepentingan rakyat di hati mereka,” katanya.


Luis berkata pilihan raya umum kali ini sudah tentu merupakan suatu peristiwa yang amat menarik untuk dihayati kerana BN berusaha untuk mendapatkan mandat sekali lagi daripada pemilih untuk mentadbir negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]